WAI Ching (tengah) bangga berada di podium. Foto Instagram Mastowerrunner
WAI Ching (tengah) bangga berada di podium. Foto Instagram Mastowerrunner
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Perlumbaan terakhir tahun ini buat pelari menara negara Soh Wai Ching berakhir dengan satu lagi kejayaan membanggakan apabila dia menjuarai kejohanan mendaki menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Bandaraya Mexico, semalam.

Pelari berusia 27 tahun berasal dari Selayang, Selangor itu menamatkan pendakian bangunan setinggi 42 tingkat dengan 868 anak tangga itu dengan masa empat minit 15 saat selepas mengungguli pusingan kelayakan dengan masa 4:17s.

Lebih mengagumkan, ia kemenangan ke-13 berturut-turut buatnya dalam perlumbaan menara di seluruh dunia sejak November 2019.

"Menamatkan tahun 2021 saya dengan satu lagi kedudukan juara! Bendera Malaysia di puncak dunia sekali lagi, kali ini di Pusat Dagangan Dunia Bandaraya Mexico," tulis Wai Ching dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

Di samping kejayaan di Mexico, dia bertanding dalam 11 perlumbaan lain sepanjang tahun ini dan menang lapan daripadanya.

Kejayaan terbesarnya adalah menjuarai Empire State Building Run-Up (ESBRU) di New York Oktober lalu, kali pertama dia menjuarai perlumbaan yang dianggap paling berprestij di dunia.

Awal bulan ini, dia menjuarai perlumbaan Spartan Trail 24km di Dubai, perlumbaan yang dilangsungkan di kawasan gurun dan bukit pasir.

Wai Ching berkata, ia kali pertama dia bertanding di Mexico selain bersaing di ketinggian 2,250 meter dari aras laut.

Selepas memenangi perlumbaan itu, dia dijemput oleh warga Malaysia, Norafizan yang ditemuinya di Kedutaan Malaysia di Bandaraya Mexico ke rumahnya untuk meraikan sambutan hari jadi anaknya yang berusia 3 tahun.

"Saya bangga dapat bertemu terlalu ramai kawan baharu di sini dan tidak lupa juga berpeluang menjamah makanan Malaysia. Terima kasih, Muchas Gracias, anda semua amat mengagumkan!," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 2:55 PM