WAI Ching terbaring puas selepas menang perlumbaan di Bandaraya Mexico. Foto Instagram mastowerrunner
WAI Ching terbaring puas selepas menang perlumbaan di Bandaraya Mexico. Foto Instagram mastowerrunner
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelari menara negara Soh Wai Ching melahirkan rasa puas berkelana selama empat bulan di rantau orang di samping meraih 10 kejuaraan daripada 13 kejohanan disertainya di tiga benua - Eropah, Asia dan Amerika Utara selain sejumlah 19 penerbangan meletihkan.

Jaguh berusia 27 tahun berasal dari Selayang, Selangor itu mengakhiri kempen musim 2021 dengan menjuarai perlumbaan mendaki anak tangga Pusat Dagangan Dunia (WTC) Bandaraya Mexico hujung minggu lalu, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam acara menara sejak Disember 2019.

"Ini gambar saya menamatkan perlumbaan terakhir saya bagi 2021, berlari menaiki Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya Mexico.

"Sejak 25 Ogos lalu, saya meninggalkan Malaysia dan menuju ke Cologne, Jerman bagi menyertai Kejohanan Menara Jerman. Berkunjung dari satu bandar raya ke bandar raya lain, negara ke satu negara ketika ini satu cabaran besar," tulisnya dalam perkongsian terbaharu di laman Instagram sambil memuat naik gambar dia terbaring dalam kegembiraan selepas muncul juara.

"Dari situ dan seterusnya, ada banyak ketidakpastian, cabaran yang tidak diketahui, halangan di depan saya. Saya menyelesaikannya satu demi satu, kadang-kadang banyak pada satu masa. Ada yang saya lakukan dengan baik, selesaikan, ada yang tidak, saya sendiri malah kawan saya menghadapi masalah."

Daripada 10 kejuaraan itu, Empire State Building Run-Up (ESBRU) di New York, Amerika Syarikat pada 26 Oktober lalu jelas perlumbaan yang tidak mungkin dilupakan Wai Ching yang muncul pelari pertama Asia berjaya melakukannya, berlari menaiki bangunan 86 tingkat dengan 1,576 anak tangga dalam masa 10 minit 46 saat.

Selain ESBRU dan WTC, dia turut menjuarai Kejohanan Menara Jerman dikenali sebagai Kolnturm Treppenlauf pada 29 Ogos, Michigan Gift of Adoption Stair Climb (dua kategori) dan Skyrise Chicago, kedua-duanya bulan lalu.

Di samping acara menara, Wai Ching turut menyertai perlumbaan lain dan memenangi Dubai Festival City Run (22 Oktober), Spartan Trail Hatta di Dubai (20 November), larian maya Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered 10km (26 November) dan Spartan Trail 24km @ Kejohanan Spartan Dunia (4 Disember) di Abu Dhabi.

"Apa yang paling penting dalam perjalanan ini bukanlah mengenai memenangi semua perlumbaan yang saya sertai, tapi untuk berkongsi, memberitahu dan mencetus inspirasi kepada ramai orang untuk mengenal pasti tujuan, nilai dalam kehidupan, meletakkan kepercayaan, memburunya dan melaksanakannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 2:06 PM