WAI Ching ketika menuju ke garisan penamat Scale the Strat. -FOTO Facebook Scale the Strat
WAI Ching ketika menuju ke garisan penamat Scale the Strat. -FOTO Facebook Scale the Strat
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelari menara Soh Wai Ching sekali lagi mengharumkan nama negara apabila mengungguli perlumbaan menaiki anak tangga bangunan menara Scale the Strat di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat lewat malam tadi.

Pelari berusia 27 tahun itu menamatkan perlumbaan 108 tingkat dengan 1,455 anak tangga itu dalam masa enam minit 57 saat. Dua pelari elit AS, Andrew Drobeck (7:32) dan Cole Hetzel (8:14) masing-masing di tangga kedua dan ketiga manakala Jill Paha 9:45) dari AS mengungguli kategori wanita.

"Gembira dan bangga kerana berjaya membawa Jalur Gemilang ke podium sekali lagi! Saya memenangi perlumbaan ini dengan masa 6 minit 57 saat, sekurang-kurangnya catatan di bawah tujuh minit," tulisnya dalam perkongsian di laman Instagram.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Paru-Paru AS (ALA) untuk mengumpul dana bagi mencegah penyakit paru-paru dan mempromosikan kesihatan paru-paru. Menurut penganjur, kira-kira 500 orang mendaftar untuk menaiki tangga "Fight for Air" kali ini.

Bagaimanapun pelari pertama dari Asia yang mengungguli larian Empire State Builing Run-Up (ESBRU) di New York tahun lalu gagal mengatasi rekod kejohanan 6 minit 46 saat dilakukan jaguh triatlon Mexico, Alexis Trujillo dua tahun lalu.

"Saya memberikan yang terbaik dengan tahap kecergasan semasa saya ketika ini. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini termasuk anggota Towerrunning USA, @lungassociation, @lungnevada, @turkishairlines, @dubaisc, @greenacrecapital dan @maximumelevationre."

Wai Ching, antara pelari pilihan pada perlumbaan itu, menerima nombor giliran 1 dan dia menjadi pelari pertama menaiki bangunan menara The Strat Hotel, Casino & Skypod di Las Vegas yang mempunyai 108 tingkat serta 1,455 anak tangga itu.

"Kini saya memegang rekod 14 kemenangan berturut-turut pada perlumbaan menara sejak Disember 2019," katanya yang mempertahankan kejuaraan pada perlumbaan M1 Run (Media One Hotel) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 5 Februari lalu.

Wai Ching, yang turut menyertai perlumbaan larian di laluan landai, kini bersiap sedia untuk mengambil bahagian pada Kejohanan 15km Kebangsaan AS di Jacksonville, Florida pada 5 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 1:10 PM