WAI Ching (tengah) megah di podium bersama pemenang tempat kedua dan ketiga di Dubai. FOTO Ihsan Instagram mastowerrunner
WAI Ching (tengah) megah di podium bersama pemenang tempat kedua dan ketiga di Dubai. FOTO Ihsan Instagram mastowerrunner
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Atlet towerrunning negara Soh Wai Ching mengharumkan nama negara sekali lagi di persada antarabangsa apabila menjuarai larian 10 kilometer (km) Spartan Trail di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.

Pelari berusia 27 tahun dari Selayang, Selangor itu melepasi garisan penamat di Hatta Wadi Hub dengan masa 38 minit 28.4 saat mengatasi Hasan Al-Shehhi dari UAE (43:05.8) manakala pelari Lubnan, Amir Bou Reslan menduduki tangga ketiga (43:22.6).

"Satu perlumbaan yang amat hebat pagi ini. Ini kali pertama saya bertanding di Hatta, berlari di laluan berbatu, pasir dan denai sejauh 10km. Ia laluan yang sukar tapi saya tetap berjuang, mendaki bukit selepas 3km dan berlari menuju ke perkataan HATTA," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman sosial.

"Saya sukakan laluan berbukit yang panjang ini, kerana saya tahu itulah kekuatan saya. Saya berseorangan selepas 1km ketika saya menjarakkan diri dengan Amir, di tangga ketiga ketika itu. Saya terus berjuang, melakukan sedaya mungkin pada kepantasan maksimum setiap masa.

"Hatta satu tempat yang cantik dan ada banyak denai, litar mountain bike! Pemandangannya menarik dan lapangannya juga bagus. Penganjur @spartantrailarabia melakukan tugas terbaik meletakkan penanda, saya sering melihat Red Spartan Tape dan pada masa sama menikmati pemandangan!.

"Cuaca amat bagus ketika itu. Berlari pada jam 8.30 pagi dan angin sejuk bertiup dari arah depan dan ia menyejukkan suhu badan saya. Saya menikmati perlumbaan ini kerana ini satu perlumbaan denai yang berbeza apabila anda tidak dikelilingi pokok sepanjang masa. Ia kawasan yang terbuka," katanya.

Sehari sebelumnya, Wai Ching bagaikan memanas badan apabila berakhir di tempat ketiga dalam perlumbaan kategori 5km pada Larian Expo 2020 Dubai dengan masa 16:12.

Wai Ching, kini menghuni ranking nombor satu Asia dan kedua di dunia, mencuri tumpuan bulan lalu apabila muncul pelari pertama Asia menjuarai larian Empire State Building Run-Up (ESBRU).

Dia menamatkan perlumbaan 86 tingkat atau 1,576 anak tangga itu dalam masa 10:46, 28 saat lebih pantas berbanding ketika dia menduduki tangga kedua pada 2019.

Dia mengambil masa hanya empat tahun untuk berada di mana dia sekarang.

Sejak muncul peserta terpantas Malaysia dan berakhir sebagai naib juara keseluruhan pada larian Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara Kuala Lumpur 2017, graduan Sains Sukan itu sudah melengkapkan 61 perlumbaan di 44 bangunan dan menara di 18 negara.

Kejayaan pada ESBRU adalah kemenangan yang tidak boleh dilupakannya setakat ini sekalipun acara itu tidak menawarkan hadiah wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 1:01 PM