WAI Ching (kiri) bersama aktor Sebastian Stan. FOTO Instagram mastowerrunner
WAI Ching (kiri) bersama aktor Sebastian Stan. FOTO Instagram mastowerrunner
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelari menara negara, Soh Wai Ching melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai perlumbaan menaiki bangunan Empire State (ESBRU) 2021 di New York, Amerika Syarikat, pagi tadi.

"Terlalu gembira malam ini! Menang perlumbaan ini dan bertemu Winter Soldier @imsebastianstan (Sebastian Stan pelakon Captain America: The Winter Soldier) di sini! Peminat Marvel di sini. Harap dapat bertemu lebih ramai aktor superhero Marvel," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

Wai Ching, 27, memenangi kategori jemputan lelaki dengan masa 10 minit 46 saat manakala Cindy Harris dari AS mengungguli kategori wanita dengan masa 14 minit 1 saat.

Selain menerima tiket penerbangan terbuka Turkish Airlines, penaja utama perlumbaan itu, Wai Ching turut memenangi AS$100,000 (kira-kira RM414,800) yang akan disalurkan kepada badan kebajikan pilihannya.

Kira-kira 200 pelari dari 24 negara menyertai kejohanan itu, perlumbaan menara pertama di dunia dan paling terkenal.

Atlet yang bersaing mendaki 1,576 anak tangga menuju ke garisan penamat di tingkat ke-86 bangunan kelima tertinggi di AS itu bagi acara tahunan kali ke-43.

Menurut penganjur, Wai Ching, yang muncul naib juara pada perlumbaan ESBRU 2019 dengan masa 11 minit 14 saat, memang dari awal dijangka menjadi pilihan utama untuk muncul juara memandangkan mereka sukar menilai prestasi semasa atlet disebabkan kekurangan data kerana penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Wai Ching menghabiskan beberapa minggu sebelum pertandingan dengan menyertai acara separuh maraton dan Red Bull 400 di Eropah selain berlatih di beberapa menara tinggi di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Pada November tahun lalu, Wai Ching diiktiraf sebagai pemegang Guinness World Record bagi 'the greatest vertical height stair climbing' dalam masa satu jam (lelaki) dengan jarak 1.295km.

Dia melakukannya di Hotel Four Seasons di Kuala Lumpur, sekali gus mengatasi rekod dunia milik David Robles Tapia dari Sepanyol yang mencatat jarak 1.227km dalam masa sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:38 PM