TRUMP akan bergandingan bersama anaknya, Don Jr untuk mengulas perlawanan berkenaan. FOTO AFP
TRUMP akan bergandingan bersama anaknya, Don Jr untuk mengulas perlawanan berkenaan. FOTO AFP
AFP

Miami: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengulas pertarungan antara bekas juara dunia, Evander Holyfield dan bintang seni bela diri campuran (MMA) Brazil, Vito Belfort.

"Saya suka pertarungan yang sengit. Saya tidak sabar untuk menyaksikan aksi antara kedua-duanya hujung minggu ini dan berkongsi pendapat mengenai apa yang berlaku di dalam gelanggang.

"Anda tidak boleh terlepas aksi istimewa ini," kata Trump dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FITE TV.

Ulasan utama mengenai pertarungan itu akan disiarkan di saluran HBO namun penonton boleh memilih dengan membayar AS$49.99 (RM207) bagi mendengar ulasan dari Trump yang turut disertai anaknya, Don Jr.

Holyfield, 58 akan berentap dengan Belfort di Hotel dan Casino Hard Rock di Hollywood, Florida, apabila petinju sensasi, Oscar De La Hoya terpaksa menarik diri selepas diuji positif Covid-19.

Pertarungan itu sebelum ini dijadualkan berlangsung di Staples Center di Los Angeles.

Ia dipindahkan di Florida selepas badan tinju California enggan iktiraf aksi antara Belfort dan Holyfield.

Holyfield tidak pernah turun beraksi sejak 2011 namun menandatangani kontrak untuk melawan Kevin McBride awal tahun ini - dengan kemungkinan pada masa akan datang berdepan musuh lamanya Mike Tyson.

Selepas pertarungan dengan McBride gagal dilaksanakan, Holyfield mengeluarkan kenyataan di Instagram Ogos lalu bahawa dia 'sudah berlatih keras selama berbulan-bulan'.

"Saya sudah berjanji dengan peminat saya untuk kembali ke gelanggang sekurang-kurangnya bagi satu pertarungan sebelum menggantung sarung tangan," katanya.

Trump sudah tidak asing lagi dalam sukan tinju, selepas menganjurkan beberapa pertarungan di bekas casinonya, Atlantic City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 3:08 PM