Vitor Belfort (kiri) menumbangkan Evander Holyfield dalam aksi Florida, Hollywood. FOTO AFP
Vitor Belfort (kiri) menumbangkan Evander Holyfield dalam aksi Florida, Hollywood. FOTO AFP
AFP

Miami: Bekas juara dunia heavyweight, Evander Holyfield tumpas menerusi knockout teknikal (TKO) pada pusingan pertama kepada bintang seni bela diri campuran, Vitor Belfort, hari ini.

Ketika bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membuat komentar di tepi gelanggang dekat kasino Seminole Hard Rock di Hollywood, Florida, bintang Brazil itu melepaskan tumbukan menyebabkan Holyfield terjatuh di tali gelanggang.

Legenda AS itu kembali bangkit namun tumbang ke lantai selepas diasak Belfort.

Dia melalui kiraan tetapi selepas menerima tumbukan bertalu-talu tanpa balas, pengadil memberhentikan pertarungan walaupun dibantah Holyfield.

"Ia tidak menyakitkan," kata Holyfield yang menegaskan bahawa keputusan memberhentikan pertarungan sebagai "satu kesedihan."

"Itulah yang terjadi," katanya. "Saya rasa ia keputusan yang teruk."

Evander Holyfield (kanan) menumbuk ke arah Vitor Belfort. FOTO EPA
Evander Holyfield (kanan) menumbuk ke arah Vitor Belfort. FOTO EPA

Holyfield bertarung buat kali pertama sejak mengalahkan Brian Nielsen pada 2011 dalam karier gemilangnya.

Holyfield menang pingat emas Olimpik 1984 dalam kelas light heavyweight dan mendominasi kategori cruiserweight secara profesional sebelum menyertai saingan heavyweight.

Dia dikenali sebagai pemenang heavyweight termasuk dua kali menumbangkan Mike Tyson dengan satu daripadanya dalam "Bite Fight", selain itu mengatasi George Foreman dan menewaskan Riddick Bowe.

Pertarungan Holyfield dengan rekod 44-10 dengan dua seri dan 29 knockout, diterima Belfort selepas hanya lapan hari menerima notis berikutan Oscar De La Hoya diuji positif Covid-19.

Holyfield berkata dia sudah bersedia, melakukan persediaan untuk kembali ke gelanggang berdepan Kevin McBride namun ia tidak dapat dilangsungkan.

Ditanya selepas pertarungan itu dia masih berminat untuk melakukan pertarungan semula berdepan musuh lamanya, Tyson, Holyfield berkata: "Sudah tentu ya."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 12:37 PM