Muhammad Ziyad Zolkefli. FOTO File NSTP
Muhammad Ziyad Zolkefli. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Keputusan mengenai isu penarikan semula pingat emas yang dimenangi atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli hanya dapat diketahui esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di akaun media sosial miliknya sebentar tadi.

"Protes daripada Ukraine masih diterima. Counter protest daripada 3 negara, Malaysia, Ecuador dan Australia akan dibawa ke mesyuarat CDM (Chef De Mission) esok pagi.

"Kita pertahankan! Mohon doa rakyat Malaysia," kata Ahmad Faizal.

Terdahulu beliau mengesahkan sekretariat negara sudahpun mengemukakan bukti untuk membantah protes yang dilakukan kem Ukraine.

"Protes sudah dihantar. Termasuk semua bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di 'call room' dan luar 'call room. Doakan," katanya.

Terdahulu pada aksi di Stadium Olimpik, Ziyad mencetuskan kegembiraan buat kontinjen negara apabila mengungguli acara berkenaan dengan melakar rekod dunia 17.94 meter (m) sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pembatalan penyertaan Ziyad menyaksikan peserta dari Ukraine, Maksym Koval yang sebelum ini menduduki tempat kedua, meraih pingat emas dengan catatan 17.34m sekali gus rekod baharu dunia.

Rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi yang melakukan balingan terbaik 17.30m pada percubaan ketiga, meraih pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 10:52 PM