Jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli. FOTO Bernama
Jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli. FOTO Bernama
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Bagi seorang atlet yang pernah dibatalkan kemenangan, Datuk Azizulhasni Awang amat memahami perasaan jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli.

Sekalipun memecah rekod dunia tiga kali dan diumum pada awalnya sebagai pemenang, Ziyad akhirnya berputih mata apabila penganjur menarik balik kemenangan itu susulan protes daripada kem Ukraine yang mendakwa dia melanggar peraturan 'call room' pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam.

"Pertamanya saya ingin ucapkan jutaan tahniah kepada rakan saya Ziyad Zolkefli @ziyadzolkefli kerana prestasi cemerlang memecahkan rekod dunia yang dipamerkan di Sukan Paralimpik Tokyo. Memang sudah di atas kertas Ziyad adalah juara malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.

"Namun saya harap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi sekarang ini. Sudah tentu ia bukan satu keputusan yang mudah untuk diterima. Saya benar-benar faham akan perasaan Ziyad kerana saya sendiri pernah ditarik kemenangan pingat emas pada Sukan Komanwel New Delhi 2010 dahulu," tulis Azizul dalam status terbaharu di media sosial.

Azizul, 33, yang membawa pulang pingat perak acara keirin pada Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, memenangi perlumbaan keirin pada Sukan Komanwel di ibu negara India 11 tahun lalu mengatasi rakan senegara Josiah Ng dengan David Daniell dari England di tangga ketiga.

Datuk Mohd Azizulhasni Awang
Datuk Mohd Azizulhasni Awang

Bagaimanapun, pada perlumbaan penuh kontroversi itu, kemenangan pelumba bergelar 'The Pocket Rocketman' itu dibatalkan selepas New Zealand membuat bantahan kerana mendakwa Azizul terkeluar dari garisan ketika pecutan pusingan akhir.

Akhirnya Josiah diumum sebagai pemenang pingat emas, Daniell perak manakala pelumba New Zealand, Simon Van Velthooven meraih gangsa.

"Inilah realiti dunia sukan. Pelbagai perkara yang di luar jangkaan boleh berlaku. Kadang-kadang ia kerana kesilapan kita dan kadang-kadang boleh jadi kesilapan lawan. Jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan kerana ia memang sentiasa berlaku dalam dunia sukan. Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia. Manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan," tulisnya lagi.

Azizul menjelaskan semua insiden itu adalah ketentuan Allah sekalipun turut akur pingat emas yang sepatutnya dikalungkan di leher Ziyad dirampas secara terang-terangan.

"Ziyad, memang pahit untuk ditelan. Akan tetapi nasihat saya sebagai rakan atlet, cuba untuk terima qada dan qadar, jangan berputus asa dan 'keep moving forward'. Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mungkin ada hikmah besar di sebaliknya. Kami rakyat Malaysia semua tahu Ziyad adalah juara sebenar dan pingat emas itu dirampas secara terang-terangan," kata Azizul.

Bantahan kem Malaysia serta dua negara Australia dan Ecuador terhadap protes Ukraine tidak diterima penganjur Paralimpik Tokyo 2020 pada satu mesyuarat ketua kontinjen hari ini yang mengekalkan kemenangan 1-2 atlet Ukraine manakala Greece meraih gangsa.

Ia sepatutnya menjadi pingat emas kedua kontinjen negara selepas emas pertama sumbangan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori 72kg Sabtu lalu.

Bagi ketua kontinjen maya negara pada Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei menulis ringkas: "@ziyadzolkefli tidak kira apa pun keputusannya, kami berbangga dengan anda.

"Perenang negara Phee Jinq En yang bertanding dalam acara 100m dan 200m kuak dada wanita pada Olimpik Tokyo 2020, menggesa penganjur supaya memeriksa semua keputusan semula kerana dia berasakan ramai atlet melakukan kesilapan sama seperti Ziyad tetapi akhirnya memenangi pingat.

"Hei @Tokyo2020, jika seseorang dibatalkan mengenai sesuatu seperti "lewat ke call room", saya menggesa anda menyemak semula setiap acara yang sudah tamat di Tokyo, kerana menerusi pengalaman saya sebagai peserta, ramai yang melakukannya dan akhirnya memenangi pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 8:14 PM