ZIYAD Zokefli beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) di Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020. FOTO Bernama
ZIYAD Zokefli beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) di Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020. FOTO Bernama
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Isu penarikan semula pingat emas yang dimenangi atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Paralimpik Tokyo semalam mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri memberi suntikan semangat kepada Ziyad dan memohon doa seluruh rakyat Malaysia agar keadilan berpihak semula kepada pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 itu.

"Kepada Ziyad, anda tetap juara di hati kami,

memecahkan rekod dunia adalah perkara yang luar biasa! Saya dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan anda!

Sama-samalah kita berdoa agar kemenangan pingat emas kekal di tangan Malaysia," katanya menerusi perkongsian di Facebook beserta tanpa pagar #malaysiaboleh #letlogicprevail #justiceforziyad.

Penyertaan Ziyad dibatalkan selepas dia serta dua lagi peserta dari Ecuador dan Australia menerima protes daripada kem Ukraine kerana lambat memasuki 'call room' atau ruang menunggu atlet sebelum turun beraksi.

Keputusan mengenai isu penarikan semula pingat emas yang dimenangi Ziyad akan dapat diketahui hari ini selepas selepas mesyuarat Chef De Mission (CDM).

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di akaun media sosialnya malam tadi.

Terdahulu pada aksi di Stadium Olimpik semalam, Ziyad mencetuskan kegembiraan buat kontinjen negara apabila mengungguli acara berkenaan dengan melakar rekod dunia 17.94m sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pembatalan penyertaan Ziyad menyaksikan peserta dari Ukraine, Maksym Koval yang sebelum ini menduduki tempat kedua, meraih pingat emas dengan catatan 17.34m sekali gus rekod baharu dunia.

Rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi yang melakukan balingan terbaik 17.30s pada percubaan ketiga, meraih pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 9:47 AM