Azizulhasni dan Shah Firdaus bergambar berhampiran Velodrom Izu pada 2016. FOTO Ihsan Facebook Azizulhasni Awang
Azizulhasni dan Shah Firdaus bergambar berhampiran Velodrom Izu pada 2016. FOTO Ihsan Facebook Azizulhasni Awang
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan betapa impian untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Tokyo bersama-sama Muhammad Shah Firdaus Sahrom bermula sejak lima tahun lalu lagi.

Azizul atau 'The Pocket Rocketman' berkata, segalanya bermula pada pada 30 Januari 2016 apabila dia bersama Shah berada di bandar Izu di wilayah Shizuoka selepas menghadapi perlumbaan Kejohanan Asia.

"Saya ketika itu di dalam misi mengutip mata dan juga persiapan ke Sukan Olimpik Rio 2016 yang akan diadakan pada bulan Ogos pada tahun itu.

"Saya berjaya membawa pulang beberapa pingat daripada acara yang disertai dan pada hari terakhir selepas selesai perlumbaan, kami seperti biasa membawa semua barang-barang kelengkapan perlumbaan serta basikal untuk dimasukkan semula ke dalam kotak

."Semua kerja-kerja 'packing' barang-barang di lakukan oleh kami satu pasukan di tempat letak kereta bersebelahan dengan Velodrom Izu.

"Selepas selesai semuanya, kami memasukkan kotak-kotak kami ke dalam bas yang sudah siap disediakan oleh pihak pengurusan kejohanan," katanya menerusi status terbaru di Facebook.

Cerita Azizul, ketika itulah dia mengambil kesempatan memandang ke arah Velodrom Izu yang tersergam indah dan bakal menjadi venue untuk Olimpik Tokyo 2020.

"Saya memandang ke arah itu sambil memasang niat dan impian yang saya akan kembali lagi ke sini selepas empat tahun. Dalam ramai-ramai rakan sepasukan yang berlegar di tempat letak kereta, saya amat yakin dan nampak yang Mat Shah Firdaus (panggilan Shah Firdaus) paling bersedia untuk ke temasya itu dalam masa empat tahun lagi.

"Jadi saya panggil beliau dan mengajak untuk berselfie (swafoto) dengan berlatar belakangkan Velodrome Izu itu," katanya.

Azizul berkongsi dialognya bersama Shah ketika itu iaitu: "Aku amik selfie ni bukan sekadar memori kita kat sini bro, tapi ini adalah sebuah impian dan cita-cita empat tahun lagi.

Insya-Allah kita berdua akan datang dan berselfie lagi bersama kat sini dan beraksi di temasya sukan (Olimpik) bro.

"Aku percaya, kau pun kena percayalah bro. Kalau kita berdua sama-sama percaya, Insya-Allah ia akan menjadi realiti. Permulaan untuk berjaya itu adalah dengan percaya boh.

"Jelas Azizul, sepatutnya selepas empat tahun, dia bersama Shah akan swafoto bersama di lokasi sama namun dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19 pada tahun lalu sehingga memaksa temasya itu ditangguhkan ke tahun ini.

"Semua ini bermula hanyalah dari sebuah impian dan cita-cita kecil kami berdua dan kini siapa sangka ia hampir menjadi sebuah realiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 2:14 PM