GAYA Azizulhasni selepas memenangi separuh akhir acara keirin di Tokyo.
GAYA Azizulhasni selepas memenangi separuh akhir acara keirin di Tokyo.
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan makna di sebalik tindakannya mengangkat jari telunjuk selepas memenangi perlumbaan separuh akhir acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Tokyo awal bulan ini.

Azizul, 33, yang meraih pingat perak pada perlumbaan akhir, terdahulu memenangi saringan kedua separuh akhir mengatasi pelumba Jerman, Maximilian Levy dan Harrie Lavreysen dari Belanda, juara dunia keirin dan pemenang emas pecut individu serta berpasukan pada Tokyo 2020.

Selepas melintasi garisan penamat di Velodrom Izu, Shizuoka, Azizul mengangkat jari telunjuknya menandakan kemenangan lantas menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan warganet yang ingin mengetahui mengenai maksud tindakannya itu.

"Sebenarnya yang pertamanya ia bermaksud saya bersyukur kepada Allahu Ahad, Allah Yang Satu kerana saya percaya kemenangan itu bukanlah datang hanya daripada saya tetapi juga kerana izin Allah SWT, jadi saya ucapkan Alhamdulillah, Allah Yang Satu," katanya menerusi vlog terbaharu dalam laman YouTube Azizul Awang ketika membuat bedah siasat mengenai perlumbaan separuh akhir keirin di Tokyo.

"Tapi bolehlah juga jika orang luar terutamanya Mat Salleh cakap saya nombor satu, nombor satu, saya boleh terimalah," katanya.

Azizul juga mendedahkan dia menerima hadiah buku bertajuk 'War on Wheels - Inside Japan's Cycling Subculture' daripada ketua jurulatih berbasikal Jepun, Benoit Vetu selepas perlumbaan akhir.

"Lepas pulang dari velodrom, ketika itu sedih pun ada kabur pun ada, apabila pergi ke dewan makan saya didatangi ketua jurulatih Jepun, Benoit Vetu yang menghadiahkan saya sebuah buku.

"Beliau tahu saya memang suka membaca buku, setiap kali perjalanan saya akan membawa buku untuk dibaca. Saya anggap ini satu hadiah daripada beliau untuk mengubati kesedihan saya. Saya amat menghargainya. Terima kasih Benoit, arigato gozaimas!," katanya.

Azizul, yang memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik Rio, kempunan untuk merangkul emas di Tokyo 2020 apabila kealpaan pelumba Australia, Matthew Glaetzer membolehkan pemenang emas Jason Kenny dari Britain menjarakkan diri sejauh lebih 20 meter pada perlumbaan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 3:59 PM