AZIZULHASNI (tengah) meluahkan amaran itu di laman sosialnya. FOTO Bernama
AZIZULHASNI (tengah) meluahkan amaran itu di laman sosialnya. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang melontarkan amaran betapa dirinya tidak gentar dan bimbang meskipun fizikalnya mungkin lebih kecil berbanding pelumba lain pada temasya Sukan Olimpik 2020 Tokyo ketika ini.

Dia yang hadir dengan status hebat selaku juara dunia 2017 dan juga pelumba nombor satu dunia dalam acara pecut mengakui tidak gentar dengan kelibat pesaing lain di Velodrom Izu apabila acara berbasikal trek membuka tirai pada 4 Ogos ini.

Azizul atau turut digelar 'The Pocket Rocketman' meluahkan amaran itu di laman sosialnya, di mana setiap pelumba memiliki peluang untuk meraih kemenangan dan menolak saiz fizikal sebagai satu kelebihan.

Dengan memberikan perumpamaan gajah di rimba, dia dilihat bermain psikologi untuk tampil lebih berkeyakinan dalam dua acara yang akan disertainya iaitu pecut dan keirin.

"Kalau saiz menjadi ukuran, gajah sudah menjadi raja di rimba," katanya yang juga pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio lima tahun lalu.

Selain pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, seorang lagi pelumba, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut bersaing di pentas tertinggi itu nanti, dengan Azizul diletakkan harapan meraih pingat.

Pada temasya ini juga, beliau dan Shah Firdaus bakal menggunakan jentera atau basikal model WX-R Vorteq yang difahamkan kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) basikal berwarna hitam dan perak itu mencecah RM13 juta.

Kedua-dua akan dibekalkan tiga buah basikal setiap seorang untuk kegunaan bermula 4-8 Ogos ini di Velodrom Izu, Shizuoka, Jepun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 2:10 PM