SHAH Firdaus (tengah) ketika memenangi Kejohanan Keirin Kebangsaan Victoria minggu lalu. FOTO FB Azizulhasni Awang
SHAH Firdaus (tengah) ketika memenangi Kejohanan Keirin Kebangsaan Victoria minggu lalu. FOTO FB Azizulhasni Awang
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Peningkatan yang ditunjukkan oleh pelumba kedua negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom memberi maklum balas positif terhadap siapakah pengganti Azizulhasni Awang selepas ini.

Ia memberi gambaran jelas bahawa pendekatan yang digunakan oleh ketua jurulatih negara John Beasley dalam mempersiapkan atlet negara ke temasya Olimpik Tokyo berada di landasan yang tepat.

Terdahulu, Shah Firdaus melakarkan kejutan menewaskan pelumba nombor satu dunia itu dalam ketika beraksi di Kejohanan Keirin Kebangsaan Victoria minggu lalu.

Paling menggembirakan skuad negara menguasai kedudukan satu dua dengan jaguh basikal negara, Azizulhasni berada di tempat kedua manakala pelumba tuan rumah Ned Pollard ketiga.

Azizul ketika dihubungi berkata, dia turut berasa gembira dengan prestasi Shah Firdaus kerana boleh memintasnya di saat akhir.

"Saya gembira dengan prestasi Shah sebab saya memang usaha sehabis baik untuk menang. Dua pusingan saya di depan dan Shah boleh memintas saya di saat akhir.

"Perlumbaan tempoh hari juga memang laju. Kalau tak silap saya sekitar 10.1 atau 10.2 saat macam itu. Memang perlumbaan bertaraf dunia dan itu menunjukkan Shah menang berada di tahap tertinggi jika tidak dia pasti tidak mampu untuk memintas saya," katanya.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio dalam acara keirin itu berkata, Shah kini sudah mampu untuk menakluk dunia.

Katanya, jika peminat sukan berbasikal ini masih ingat, Shah pernah tewaskan juara dunia, Matthew Glaetzer dalam acara pecut di Sukan Komanwel Goldcoast pada pusingan awal.

"Kejayaan Shah pada ketika itu mengejutkan ramai pihak sebab Matthew ketika itu adalah juara dunia.

"Jadi sekarang ini terpulang kepada Shah sendiri untuk berusaha bagaimanapun saya harap orang ramai tidak memberi tekanan yang tidak sepatutnya kepadanya. Beri ruang untuk Shah membuktikannya dan ambil waktu yang dia perlukan," katanya.

Dua pelumba negara itu dijadualkan menyertai pertandingan seterusnya di Kejohanan Kebangsaan Australia 2021 di Velodrom Anna Meares, Brisbane, Australia hujung bulan ini.

Kedua-dua mereka menyasarkan untuk melakukan yang terbaik seterusnya menguasai perlumbaan sebagai juara.

Azizul sebelum ini pernah meraih emas dalam acara keirin di kejohanan itu Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 11:56 PM