SHAH Firdaus bersama basikal WX-R Vorteq yang akan digunakan di Olimpik Tokyo 2020. FOTO Muhammad Shah Firdaus Sahrom
SHAH Firdaus bersama basikal WX-R Vorteq yang akan digunakan di Olimpik Tokyo 2020. FOTO Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom cukup teruja untuk membuat penampilan pertamanya di pentas Sukan Olimpik selepas tiba di bumi Tokyo.

Bakal beraksi di Velodrom Izu bersama seniornya, Datuk Azizulhasni Awang, Shah berkata, sebelum bermulanya saingan acara pecut pada 4 Ogos nanti, dia hanya mahu meneruskan fokus kepada persediaan diri sendiri.

"Di peringkat ini, saya lebih mengutamakan persediaan diri saya sepenuhnya dalam aspek pemulihan, tidur, latihan dan segera menyesuaikan diri dengan velodrom dan persekitaran di Tokyo," katanya.

Pelumba berusia 25 tahun itu cukup teruja berkongsi mengenai basikal WX-R Vorteq yang akan digunakan pada temasya kali ini selepas menggunakannya di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman.

"Basikal akan saya gunakan di Tokyo tiada beza dengan basikal digunakan di Berlin.

"Perubahan adalah pada warna basikal itu. Memang tidak dinafikan basikal ini memang sesuai dengan kami memandangkan rekaannya memenuhi keperluan selaku seorang pelumba pecut.

"Perbezaan antara basikal saya dan Azizul hanyalah daripada segi saiz sahaja," katanya.

Azizul yang bakal membuat penampilan kali keempat di Sukan Olimpik menjadi tumpuan utama kali ini untuk menghadirkan pingat emas pertama negara di pentas temasya sukan terbesar dunia itu selepas mempamerkan aksi meyakinkan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Bagaimanapun, jurulatih negara, John Beasley menerusi laporan Arena Metro sebelum ini yakin Shah mampu melakukan sesuatu, malah turut berpeluang untuk meraih pingat jika anak didiknya itu dapat mengawal situasi ketika hari pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 4:39 PM