Reezal Merican (kiri) meninjau persiapan atlet memanah. FOTO Ihsan FB Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican (kiri) meninjau persiapan atlet memanah. FOTO Ihsan FB Reezal Merican Naina Merican
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Temasya Olimpik Tokyo 2020 adalah medan terbaik buat penembak berpengalaman negara, Nur Suryani Taibi memperbaiki rekod peribadi seterusnya mencipta kejutan membawa pulang pingat untuk kontinjen negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kehadiran Suryani jelas akan menarik perhatian orang ramai selepas kali terakhir dia tampil pada Olimpik London 2012 dengan keadaan sarat mengandung.

Katanya, walaupun Suryani tampil di temasya empat tahun sekali menerusi tiket 'wildcard' namun sandaran tetap diberikan kepada atlet terbabit untuk mencipta rekod terbaik dalam acara disertainya.

"Suryani bukanlah atlet baru dalam sukan negara kerana dia adalah pemenang pingat emas Sukan Sea serta perak di Sukan Asia.

"Saya sempat berbual dengan jurulatihnya walaupun beraksi di Tokyo atas tiket 'wildcard' namun ini adalah peluang untuk perbaiki rekod peribadi dan mencipta kejayaan lain.

"Dia akan berlepas 17 Julai depan dan selain daripada persediaan teknikal, latihan serta mentaliti, aspek kesihatan adalah paling saya harapkan untuk dititiberat oleh semua atlet," katanya, selepas mengadakan lawatan ke kem menembak negara di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Mengikut rekod, atlet berusia 38 tahun itu bakal membuat penampilan keduanya di temasya sukan terbesar dunia itu selepas mencuri tumpuan peminat sukan global pada Sukan Olimpik 2012 di London, apabila bertanding meskipun sedang sarat mengandung lapan bulan.

Mempunyai reputasi baik di dalam negara, beliau turut banyak mengharumkan nama Malaysia menerusi pelbagai kejayaan diraih di pentas antarabangsa, antaranya merangkul pingat perak dan gangsa Sukan Asia 2014, pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 dan beberapa siri kejayaan dalam penyertaan di Sukan Sea.

Mengikut rekod, pada edisi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Johnathan Wong yang beraksi dalam acara 10m air pistol individu lelaki, menjadi atlet menembak tunggal negara yang bertanding pada edisi temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 8:28 PM