SURYANI diharapkan dapat mengawal keadaan kerana acara itu kali ini akan berlangsung di kawasan terbuka. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
SURYANI diharapkan dapat mengawal keadaan kerana acara itu kali ini akan berlangsung di kawasan terbuka. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengalaman beraksi di temasya Olimpik London sedikit sebanyak membantu penembak negara Nur Suryani Taibi menghadapi cabaran dan kekangan di Olimpik Tokyo kali ini.

Jurulatihnya, Mohd Yusri Jusoh yakin penembak negara itu mampu melakukan yang terbaik biarpun Suryani akan beraksi dalam acara berbeza iaitu 50m rifle tiga posisi wanita.

Sesi latihan di venue pertandingan Lapang Sasar Asaka juga berlangsung dengan baik dan atlet kebangsaan itu dilihat dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.

Bagaimanapun, Suryani diharapkan dapat mengawal keadaan kerana acara itu kali ini akan berlangsung di kawasan luar justeru keadaan berangin itu antara halangan yang perlu diatasi.

Bagi Yusri beliau yakin, jika Suryani mampu untuk mengawal keadaan tiada yang mustahil untuk atlet berusia 38 melakukan kejutan.

"Saya nampak Suryani sudah bersedia. Pengalamannya di London sedikit sebanyak akan membantu biarpun dia beraksi dalam tiga posisi dan bukannya rifle seperti di London. Bagaimanapun saya akui, rasa tekanan itu tetap dirasai.

"Namun jika perkara itu dapat di atasi tidak mustahil untuk dia meraih pingat kerana semua atlet mempunyai peluang yang sama.

"Apa yang membezakan adalah pada hari pertandingan di mana skil dan pengalaman akan memainkan peranan," katanya.

Terdahulu, Suryani berjaya melepasi rekod kebangsaan acara 50m rifle tiga posisi wanita miliknya iaitu 1172 mata selepas mengumpul 1182 mata dalam sesi latihan terakhir sebelum berangkat ke Tokyo, namun rekod itu tidak diiktiraf kerana tidak memenuhi kriteria.

Ketika ini Suryani berpeluang untuk berehat sehingga 28 Julai sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan dua hari sebelum acaranya berlangsung iaitu pada 31 Julai.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini menjadi penampilan kedua Suryani di temasya sukan berprestij itu selepas mencuri tumpuan peminat sukan global pada Sukan Olimpik 2012 di London, apabila bertanding meskipun sedang sarat mengandung lapan bulan.

Mempunyai reputasi baik dalam negara, dia turut banyak mengharumkan nama Malaysia menerusi pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa, antaranya merangkul pingat perak dan gangsa Sukan Asia 2014, pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 dan beberapa siri kejayaan dalam penyertaan di Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:24 PM