Al-Sultan Abdullah (dua kiri) berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Reezal (dua kanan) sambil diperhatikan Norza dan Megat di Istana Negara hari ini. FOTO Ihsan FB Istana Negara
Al-Sultan Abdullah (dua kiri) berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Reezal (dua kanan) sambil diperhatikan Norza dan Megat di Istana Negara hari ini. FOTO Ihsan FB Istana Negara
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kontinjen Malaysia ke temasya Olimpik Tokyo menerima suntikan semangat menerusi pengurniaan Jalur Gemilang oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi kenyataan media Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Istana Negara jam 4 petang hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin.

Baginda berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Menteri Belia dan Sukan sebagai simbolik penerimaan bagi pihak kedua-dua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pada sesi berkenaan, Yang di-Pertuan Agung turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan kontinjen negara.

Selain itu, Baginda juga menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kegigihan dan kecekalan serta kejayaan mereka melayakkan diri untuk bersaing di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Baginda menzahirkan harapan supaya atlet Negara dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi menjulang nama Malaysia di persada tertinggi dunia.

Pada masa sama, Baginda turut mengingatkan kepada atlet dan pegawai berwaspada dalam menjaga kesihatan diri ketika berada di Tokyo.

Mengikut rekod, MOM mengumumkan senarai akhir 30 atlet negara yang akan menggalas cabaran ke Temasya Olimpik Tokyo bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Menerusi kenyataan media MOM menyaksikan kem badminton paling ramai penyertaan ke temasya itu dengan lapan pemain akan membawa cabaran membabitkan perseorangan dan beregu lelaki serta wanita selain turut mempunyai wakil dalam beregu campuran.

Katanya, acara terjun yang berpotensi memenangi pingat pula menyaksikan Malaysia menghantar lima wakil negara bagi menghadapi temasya sukan itu. Lain-lain sukan adalah membabitkan pelayaran (4 atlet) memanah (2 atlet), olahraga (2 atlet), basikal (2 atlet), golf (2 atlet), gimnastik (2 atlet), menembak (1 atlet) dan berenang (2 atlet).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:19 PM