Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO NSTP
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jangan minum tak tentu hala dalam waktu terdekat ini.

Peringatan itu diberikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican kepada semua atlet yang akan menyertai temasya Olimpik 2020 dalam memastikan mereka tidak berhadapan sebarang masalah terutama berkaitan isu doping.

Bukannya mahu 'menyeksa' atlet namun ketika ini pelbagai perkara boleh berlaku termasuklah kemungkinan ada unsur sabotaj hingga menyebabkan mereka tidak dapat beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Katanya, beliau sudah meminta Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa memantau pemakanan atlet termasuk melakukan ujian doping bagi memastikan mereka bebas daripada pengambilan bahan terlarang.

"Berkaitan isu doping, saya sudah minta supaya ISN sentiasa lihat perkara ini supaya atlet jangan minum tak tentu hala.

"Perkara ini dibangkitkan oleh OCM (Majlis Olimpik Malaysia) kerana mungkin ada elemen sabotaj hingga atlet tidak boleh beraksi nanti.

"Ambil serba serbi langkah supaya tak timbul sebarang masalah nanti hingga merugikan atlet itu sendiri," katanya.

Temasya kali ini menyaksikan Malaysia diwakili 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 jenis acara merangkumi 10 jenis sukan.

Mereka adalah Khairul Anuar Mohamad, Syaqiera Mashayikh (memanah), Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Lee Zii Jia, Soniia Cheah, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (kesemuanya badminton).

Selain Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee bagi acara terjun, Gavin Green, Kelly Tan (golf), Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik), Suryani Mohamed Taibi (menembak), Welson Sim dan Phee Jinq En (renang).

Kelompok kedua dan ketiga atlet dijangka berlepas ke Tokyo pada 17 dan 25 Julai ini.

Skuad pelayaran negara terdiri daripada empat atlet dan tiga jurulatih menjadi kumpulan pertama kontinjen Malaysia berlepas ke Jepun bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang bakal berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 7:44 PM