TSITSIPAS berjaya menundukkan Khachanov di Terbuka Rotterdam. FOTO EPA
TSITSIPAS berjaya menundukkan Khachanov di Terbuka Rotterdam. FOTO EPA
AFP

Rotterdam: Stefanos Tsitsipas, yang mara ke separuh akhir Terbuka Australia, mara ke separuh akhir Terbuka Rotterdam selepas berjaya mencatat kemenangan 4-6, 6-3, 7-5 ke atas Karen Khachanov.

Pemain nombor enam dunia itu berjaya bangkit dari ketinggalan 1-3 di set terakhir dan mematahkan servis lawan dari Russia itu di permainan kelima sebelum menempah tempat ke separuh akhir.

"Dia bermain dengan baik dan saya tidak pasti sama ada mampu memberi tentangan.

"Kami bermain rali dengan sangat baik dan mempamerkan permainan tenis berkualiti.

"Anda harus kekal tenang dan sebolehnya menghabiskan permainan dalam tiga set. Saya pernah memenangi sebelum ini dan dengan pengalaman yang ada, memberikan saya idea bagaimana untuk beraksi di saat genting," katanya.

Tsitsipas menumpaskan Rafael Nadal ketika mara ke separuh akhir Terbuka Australia sebelum kalah kepada Daniil Medvedev.

Pemain pilihan kedua dari Greece itu akan berdepan seorang lagi pemain Russia, Andrey Rublev yang berjaya mengalahkan pemain dari pusingan kelayakan, Jeremy Chardy 7-6 (7/2), 6-7 (2/7), 6-4.

"Ia perlawanan yang sangat sengit ketika menentang Jeremy. Saya akan cuba bersedia sebaik mungkin untuk aksi esok. Stefanos juga berdepan dua perlawanan sukar minggu ini," kata Rublev.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 2:51 PM