RUBLEV memburu kejuaraan kelapan sepanjang kariernya. FOTO EPA
RUBLEV memburu kejuaraan kelapan sepanjang kariernya. FOTO EPA
AFP

The Hague: Andrey Rublev berjaya mengalahkan Stefanos Tsitsipas 6-3, 7-6 (7/2) untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Rotterdam dan meneruskan rentak kemenangan dalam kejohanan bertaraf 500 ATP kepada 19 perlawanan.

Pemain pilihan keempat itu berjaya mematahkan servis Tsitsipas dua kali pada set pembukaan dan mengheret lawan dari Greece itu sehingga ke aksi tiebreak sebelum mengesahkan kemenangan dalam tempoh 97 minit.

Rublev yang mara ke final 500 buat kali keempat berturut-turut, akan berdepan Marton Fucsovics selepas pemain dari pusingan kelayakan itu mengalahkan Borna Coric 6-4, 6-1.

Pemain nombor lapan dunia itu memburu kejuaraan kelapan sepanjang kariernya dengan rekod final jelajah 7-2.

"Saya bermain tenis untuk sampai ke tahap terbaik, bermain untuk mencatat keputusan terbaik di kejohanan, cuba bersaing, seterusnya memburu kejayaan.

"Perlawanan akhir adalah sesuatu yang istimewa, jadi saya akan cuba memberikan yang terbaik esok," kata Rublev.

Sementara itu, pemain nombor 137 dunia, Francisco Cerundolo mara ke perlawanan akhir Buenos Aires ATP, seminggu selepas adiknya, Juan Manuel muncul juara di Cordoba.

Pemain berusia 22 tahun itu mengalahkan pilihan kelima dari Sepanyol, Albert Ramos Vinolas of Spain 7-6 (7/5), 3-6, 6-2 bagi mara ke perlawanan akhir ATP buat kali pertama.

Dia akan berdepan pilihan utama dan juga rakan senegara, Diego Schwartzman yang mengalahkan, Miomir Kecmanovic dari Serbia 6-0, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 2:47 PM