RUBLEV bakal menentang Thiem di suku akhir. FOTO AFP
RUBLEV bakal menentang Thiem di suku akhir. FOTO AFP
AFP

Vienna: Pemain Russia, Andrey Rublev hanya memerlukan lapan minit untuk mara ke suku akhir ATP Vienna selepas pemain remaja Itali, Jannik Sinner menarik diri akibat kecederaan.

Pilihan kelima, Rublev mendahului 2-1 pada set pertama apabila pemain ranking ke-43 dunia berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan kaki kanan.

Rublev yang mara ke saingan suku akhir kali kesembilan musim ini akan menentang pilihan kedua dan juara bertahan, Dominic Thiem untuk memburu tempat ke saingan empat terakhir.

Juara Terbuka AS, Thiem menewaskan pemain Chile, Cristian Garin 6-3, 6-2.

Pemain Itali, Lorenzo Sonego mengatasi cabaran pemain Poland, Hubert Hurkacz 7-6 (8/6), 7-6 (7/2) dan akan membuat perhitungan dengan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic.

Pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov menyingkirkan pilihan ketiga dan juara bertahan Pusingan Akhir ATP, Stefanos Tsitsipas 6-7 (5/7), 6-4, 6-3 untuk kemenangan pertamanya ke atas pemain kelompok 10 teratas tahun ini.

"Saya kekal fokus ketika dia lebih agresif, " kata Dimitrov yang menduduki ranking ke-20.

"Pada tie-break, saya terus percaya diri sendiri dan membuat tindakan yang betul, " katanya yang akan menentang pemain Britain, Dan Evans untuk memburu slot separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 8:27 AM