MEDVEDEV sebelum ini dicemuh oleh penonton apabila mengetepikan wakil tuan rumah, Kyrgios di pusingan kedua Khamis lalu. FOTO AFP
MEDVEDEV sebelum ini dicemuh oleh penonton apabila mengetepikan wakil tuan rumah, Kyrgios di pusingan kedua Khamis lalu. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Pemain nombor dua dunia dan calon juara, Daniil Medvedev berjaya 'menumpaskan' penonton di Terbuka Australia sekali gus membolehkan wakil Russia itu mara ke kelompok 16 terakhir bersama Stefanos Tsitsipas.

Medvedev yang terus dinaikkan sebagai pilihan utama selepas ketiadaan penyandang juara, Novak Djokovic berkata, sesetengah penonton di Melbourne Park mempunyai IQ rendah selepas dia dicemuh ketika berjaya mengalahkan pemain tuan rumah Nick Kyrgios di pusingan kedua.

Bagaimanapun, kali ini dia lebih selesa untuk mengetepikan pemain bukan pilihan dari Belanda, Botic van de Zandschulp.

Dia berjaya mencatat kemenangan 6-4, 6-4, 6-2 dalam tempoh satu jam 55 minit dan akan berdepan pemain Amerika Syarikat (AS) Maxime Cressy di pusingan keempat.

Sementara itu, pilihan keempat dari Greece, Tsitsipas yang cuba untuk memburu kejuaraan Grand Slam sulungnya, juga tidak berdepan masalah menang 6-3, 7-5, 6-7 (2/7), 6-4 ke atas pemain bukan pilihan dari Perancis, Benoit Paire dan bakal berdepan seorang lagi wakil AS, Taylor Fritz.

Bagaimanapun, pilihan kelima, Andrey Rublev gagal meneruskan kemaraan apabila kalah kepada naib juara 2018, Maric Cilic.

Felix Auger-Aliassime pula mengetepikan satu-satunya wakil Britain yang tinggal, Dan Evans apabila menang 6-4, 6-1, 6-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 11:10 PM