PENGALAMAN luas Faizal ditagih skuad hoki negara.
PENGALAMAN luas Faizal ditagih skuad hoki negara.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun usianya sudah menjangkau 33 tahun, penyerang sensasi skuad hoki negara, Faizal Saari tetap akan menjadi watak penting kepada Speedy Tigers dalam menghadapi kempen sepanjang tahun ini.

Malah ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh memberi bayangan Faizal akan tetap berada dalam senarai 30 pemain yang akan dipilih selepas berakhirnya sesi pemilihan membabitkan 46 pemain ketika ini.

Faizal tidak berada dalam sesi pemilihan sehingga esok kerana sudah mempunyai perancangan untuk beraksi di Liga Bangladesh bersama pasukan Mohammaden Sporting Club.

"Dia (Faizal) sudah ada perancangan, jadi saya tak boleh mengganggunya. Tapi selepas berada dalam senarai 30 pemain, dia tidak boleh pergi lagi (ke Bangladesh).

"Dengan tahap pemainnya, pastinya tiada sesiapa yang tidak mahu mempertimbangkannya (terpilih dalam skuad kebangsaan)," katanya.

Jelas Sarjit, Faizal akan kembali ke Malaysia sekitar 10 April dan dia akan menyertai sesi latihan skuad negara pada 15 April.

Daripada 46 pemain ketika ini, Sarjit akan mengumumkan senarai 30 pemain terbaik pada 1 April.

Pemilihan dilakukan Sarjit untuk membentuk pasukan baharu bagi menghadapi Piala Azlan Shah berlangsung dari 4 sehingga 11 Mei depan di mana skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.

Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland yang akan bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 2:46 PM