Sarjit Singh
Sarjit Singh
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) melakukan sedikit kelainan apabila memanggil seramai 46 pemain ke sesi pemilihan pasukan kebangsaan sebelum menyerap mereka yang layak untuk berada dalam skuad Speedy Tigers.

Ketua jurulatih hoki lelaki negara Sarjit Singh berkata, kesemua pemain ini dipilih selepas mereka mempamerkan prestasi cemerlang ketika saingan Liga Hoki Malaysia (MHL).

Jelas Sarjit, skuad yang akan di bentuk ini adalah bagi jangka masa panjang dan disebabkan itu terdapat ramai pemain muda diberikan peluang untuk mereka menembusi skuad senior.

"Kita punya program adalah untuk Sukan Asia (Aichi-Nagoya 2026) dua tahun setengah lagi. Jadi kita berikan peluang kepada pemain cemerlang di Liga Hoki Malaysia.

"Jadinya, peluang ini bukan mudah dan harap mereka tunjuk dan buktikan mereka layak berada dalam senarai 30 pemain itu sebelum kita kecilkan kepada 18 pemain ke kejohanan Piala Sultan Azlan Shah pada Mei nanti.

"Dua tiga tahun akan datang, mereka (pemain muda) akan menjadi pemain yang bagus. Kalau mereka buktikan atas padang, berdisiplin di dalam dan luar padang, dengan usia yang muda itu, mereka akan berikan segala-galanya jika diberikan peluang beraksi untuk negara," katanya ketika sesi sidang media pengumuman pemain yang dipanggil ke sesi latihan serta pemilihan ke pasukan kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Selain itu, pengendali berusia 62 tahun itu juga menegaskan biarpun pemain yang dipanggil kali ini paling ramai namun setiap daripada mereka akan diberikan peluang untuk beraksi sesama sendiri.

"Kita akan main lapan perlawanan sesama mereka dan beri semua peluang. Kita akan pecahkan kepada tiga pasukan dan setiap pasukan akan ada 15 hingga 16 pemain. Secara keseluruhan akan ada 480 minit permainan dan setiap pemain akan dapat minimum 320 minit permainan untuk bermain.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak mengumumkan barisan penolong jurulatih iaitu Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan Azrul Effendy Bistaman sementara jurulatih penjaga gol akan dibantu oleh S Kumar akan bertindak membantu Sarjit membentuk pasukan hoki lelaki kebangsaan.

Kesemua pemain akan mula lapor diri dan menjalani latihan bermula 19 hingga 30 Mac ini sebelum 1 April depan MHC mengumumkan seramai 30 pemain terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 2:55 PM