ADAM  ketika menjalani sesi latihan skuad hoki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. FOTO Aizuddin Saad
ADAM ketika menjalani sesi latihan skuad hoki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Usianya baharu 18 tahun namun pada usia seawal itu, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari sudah menyimpan cita-cita tinggi untuk terpilih menyarung jersi skuad senior hoki negara.

Pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia Remaja dekat Kuala Lumpur tahun lalu itu antara 46 pemain terpilih menjalani sesi pemilihan skuad kebangsaan di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu Speedy Tigers, Sarjit Singh.

Bagi pemain tengah itu, tiada mustahil untuk menggapai impian itu dan dia mahu membuktikan kemampuannya sepanjang sesi pemilihan sehingga 30 Mac ini sebelum Sarjit mengumumkan senarai 30 pemain terbaik pada 1 April.

"Kalau boleh memang sasaran saya tahun ini untuk masuk ke dalam skuad senior. Jika tak dapat, saya akan fokus kepada skuad remaja negara.

"Saya tak letak harapan tinggi sangat, hanya mahu lakukan yang terbaik semasa sesi pemilihan. Kalau ada rezeki Alhamdulillah.

"Saya rasa ada kelebihan dari aspek kemahiran dan paling penting saya ada tahap kecergasan yang tinggi," katanya.

Adam pemain termuda membarisi skuad remaja negara di Piala Dunia tahun lalu dan dia membalas kepercayaan itu apabila berjaya meledak gol ketika bertemu Belgium, New Zealand serta Chile.

Selain Piala Dunia Remaja, Adam juga membantu skuad remaja negara meraih pingat emas di Sukan Sea Kemboja serta beraksi di Piala Remaja Asia di Oman dan Piala Sultan Johor.

Pemilihan dilakukan Sarjit untuk membentuk pasukan baharu bagi menghadapi Piala Azlan Shah berlangsung dari 4 sehingga 11 Mei depan di mana skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.

Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland yang akan bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 1:02 PM