HAFIZUDDIN penjaga gol nombor satu negara.
HAFIZUDDIN penjaga gol nombor satu negara.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penjaga gol utama skuad hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman berharap impian untuk beraksi di Sukan Olimpik akan tercapai selepas namanya antara 46 pemain yang dipanggil bagi menyertai kem latihan skuad kebangsaan bermula 19 Mac ini.

Hafizuddin yang memegang status penjaga gol nombor satu negara sejak persaraan S Kumar, perlu bersaing dengan lima lagi penjaga gol lain, yang diberi peluang oleh ketua jurulatih baharu negara, Sarjit Singh untuk memperaga kemampuan masing-masing sebelum pemilihan akhir dilakukan.

Jelas penjaga gol berusia 32 tahun itu, panggilan itu menghidupkan semula impiannya untuk beraksi di Olimpik, satu-satunya kejohanan yang belum pernah disertainya sejak mewakili negara.

"Mungkin Sukan Asia 2026 atau kelayakan ke Olimpik akan menjadi peluang terakhir untuk saya cuba penuhi impian layak beraksi di Olimpik. Saya sudah beraksi dalam semua kejohanan termasuk Piala Dunia tetapi belum ada rezeki lagi beraksi di Olimpik," katanya ketika dihubungi.

Sukan Asia 2026 adalah peluang terbaik untuk skuad negara layak ke Olimpik secara merit dengan syarat wajib memenangi pingat emas.

Sementara itu, mengulas pemilihannya bersama beberapa pemain senior lain termasuk penyerang sensasi, Faizal Saari serta Muhamad Marhan Jalil, Hafizuddin mengakui dia sememangnya masih bersemangat untuk mewakili negara.

"Kalau lihat kepada lima lagi penjaga gol yang terpilih, kesemua mereka ada pengalaman, jadi kami semua perlu bersaing secara sihat. Tanggungjawab saya juga semakin berat untuk bimbing rata-rata barisan pemain muda yang berada dalam skuad baharu ini," katanya.

Lima lagi penjaga gol yang turut terpilih itu adalah Muhamad Zaimi Mat Deris, Adrian Andy Albert, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani, Che Shahrul Azmi Che Saufi dan Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal.

Sarjit menerusi sidang media semalam berkata, kem latihan itu bertujuan melihat kebolehan setiap pemain sebelum mereka dimuktamadkan kepada 30 orang bagi membentuk wajah baharu Speedy Tigers bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah pada 4 hingga 11 Mei dan Piala Negara-Negara di Poland pada 30 Mei hingga 1 Jun.

Menurut Sarjit, kesemua pemain akan dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk berentap sesama sendiri dalam lapan perlawanan sebelum senarai penuh skuad negara dikeluarkan 1 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 3:55 PM