SARJIT Singh (kanan) bersama pemain hoki negara ketika sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Hairul Anuar Rahim
SARJIT Singh (kanan) bersama pemain hoki negara ketika sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Hairul Anuar Rahim
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara akan mengadakan satu lagi aksi persahabatan bertemu Korea Selatan pada 2 Mei ini sebelum turun pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak dua hari selepas itu.

Ketua jurulatih skuad negara, Sarjit Singh bagaimanapun berkata, pemilihan 18 pemain tetap akan dilakukan selepas berakhir aksi persahabatan pertama bertemu New Zealand pada 1 Mei.

"Seperti sering saya katakan sebelum ini, setiap pemain ada peluang untuk bersaing merebut tempat sebab hanya 18 pemain akan terpilih dan dua pemain lagi dalam senarai menunggu sekiranya berlaku kecederaan," katanya pada sesi latihan pertama skuad negara selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

Ditanya adakah beliau sudah mempunyai bayangan pemain menjadi pilihannya, Sarjit berkata beliau perlu bersikap adil kepada semua pemain.

"Setiap pemain perlu fokus kepada sesi latihan dahulu yang masih berlangsung sebelum berehat selama dua hari bermula 26 April ini. Kemudian pada 28 April pasukan akan bergerak ke Ipoh," katanya.

Menerusi senarai 30 pemain yang terpilih menjalani latihan fasa kedua, Sarjit membariskan rata-rata barisan pemain muda, malah enam pemain tidak pernah melakukan penampilan bersama skuad kebangsaan.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung dari 4 sehingga 11 Mei depan, selain Korea dan New Zealand, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan turut bersaing bersama Kanada, Jepun dan Pakistan.

Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 9:56 PM