ANTARA aksi Malaysia bertemu India, hari ini. FOTO REUTERS
ANTARA aksi Malaysia bertemu India, hari ini. FOTO REUTERS
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Ia memang sesuatu yang sudah dijangka namun ada memperlihatkan sedikit peningkatan dari mutu permainan barisan pemain hoki negara yang tewas kepada India pada peringkat Kumpulan A, Sukan Asia Hangzhou, hari ini.

Skuad Malaysian Tigress terpaksa akur tunduk kepada kepada India yang kini menghuni ranking ketujuh dunia dengan jumlah jaringan 0-6.

Jurulatih negara, Nasihin Nubli Ibrahim bagaimanapun berkata, perjuangan belum selesai dan mereka perlu bangkit untuk berdepan Singapura selepas ini.

"Kami sememangnya menjangkakan India sebuah pasukan yang sangat kuat, mereka memiliki kelebihan berbanding pasukan kita di setiap kawasan.

"Memang berat menerima kekalahan 0-6 namun saya pasti pemain sudah memberi persembahan yang baik, saya sendiri berbangga dengan usaha pemain saya," kata Nasihin.

Menurutnya, India sebuah pasukan banyak berpengalaman di peringkat dunia, Olimpik malah beraksi di Pro League dan menganggap apa dilalui pemain adalah sebuah pengalaman yang berharga.

Pada perlawanan itu, skuad negara ketinggalan 4-0 pada suku pertama, menerusi jaringan Monika, Deep Grace, Navneet Kaur dan Vaishnavi Vitthal.

Skuad bimbingan Nasihin berjaya memperbaiki permainan dan hanya melepaskan satu gol pada suku kedua, menerusi jaringan Sangita Kumari, dan bertahan dengan baik pada suku ketiga, sebelum dibolosi satu lagi jaringan pada suku keempat, menerusi gol Lalremsiami.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 10:38 PM