SKUAD negara bakal beraksi penentuan tempat kelima. FOTO Majlis Olimpik Malaysia
SKUAD negara bakal beraksi penentuan tempat kelima. FOTO Majlis Olimpik Malaysia
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Pasukan hoki wanita negara menamatkan perlawanan terakhir peringkat kumpulan A di kedudukan ketiga selepas tewas 0-5 kepada Korea di temasya Sukan Asia, Hangzhou.

Malaysia dijangka berdepan Thailand dalam penentuan tempat kelima dan sekiranya berjaya ia menepati sasaran diletakkan kepada skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu.

Pada perlawanan menentang Korea itu, Nasihin sememangnya sudah menjangkakan keupayaan pasukan Korea yang menghuni ranking ke-12 dunia, berjaya mengikat India 1-1.

"Hari ini Korea turun dengan sasaran untuk menang sebagaimana kita juga. Kita nampak corak permainan mereka yang menduduki ranking lebih tinggi berbanding skuad negara. Struktur permainan yang ditekankan adalah bertahan dengan baik dan menyerang bila ada peluang," katanya.

Namun skuad negara berdepan kesukaran pada suku pertama apabila penyerang negara Nuramirah Shakirah Zulkifli mengalami kecederaan menyebabkan rentak pemain sedikit berubah.

Serangan bertali arus daripada Korea akhirnya membolehkan mereka mencerobohi gawang negara pada minit ke-14 menerusi Chi Eunji.

An Sujin kemudiannya meledakkan gol kedua Korea minit ke-25 sebelum Seo Jungeun meletakkan Korea di kedudukan lebih selesa minit ke-36 untuk mendahului 3-0.

An Sujin kemudiannya sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring minit ke-28 dan 10 minit berselang Lee Yuri memastikan Korea selesa mendahului dengan 5-0.

Mengulas mengenai strategi berdepan lawan seterusnya Sabtu ini, Nasihin berkata, beliau akan memanfaatkan sepenuhnya rehat tiga hari untuk merancang strategi terbaik.

"Sukan Asia belum berakhir dan pemain harus bangkit untuk melakukan yang terbaik seterusnya merebut tempat kelima," katanya.

Terdahulu pada aksi pertama peringkat kumpulan A skuad negara menewaskan Hong Kong 8-0 namun tewas kepada India 0-6 dan bangkit mencatat kemenangan 8-1 mengatasi Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 5:31 PM