SKUAD negara akan menentang India, esok. FOTO MHC
SKUAD negara akan menentang India, esok. FOTO MHC
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Pertembungan dengan India, esok dalam aksi kedua peringkat kumpulan A akan menjadi penentu di mana kedudukan pasukan hoki wanita kini berada.

Selepas dibelasah India 0-9 ketika Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita 2022 di Muscat, Oman, tahun lalu, skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim kali ini tampil dengan wajah berbeza.

Biarpun mengetahui ia adalah satu tugas yang sukar, Nasihin berkata, skuad Malaysian Tigress akan cuba sehabis baik.

"Turun menentang India kali ini, saya akan menggunakan struktur yang berbeza sedikit.

"Pada aksi berdepan Hong Kong, kita tidak menurunkan kapten pasukan, Juliani Mohamad Din untuk memastikan dia cergas sepenuhnya apabila berdepan India.

"Saya yakin kali ini, kita akan beri yang terbaik dengan penampilan pasukan yang berbeza," katanya.

Nasihin berkata, tekanan kini bukan ke atas pasukan negara dan di atas kertas sendiri, keputusan lebih memihak kepada India yang kini menghuni ranking ketujuh dunia.

"Ketika di Oman dahulu, kita turunkan ramai pemain baru yang rata-ratanya mempunyai caps pertama di peringkat antarabangsa berbanding pemain India yang sudah ada 100, 200 caps.

"Tapi kali ini, saya lihat pemain kita sudah bersedia dan saya yakin mereka akan berikan yang terbaik," katanya.

Pertembungan Malaysia menentang India akan akan berlangsung di Stadium Gongshu Canal Sports Park pada jam 6.30 petang esok.

Meletakkan sasaran muncul lima pasukan terbaik Asia, skuad hoki wanita negara diundi dalam kumpulan A bersama India, Korea, Hong Kong dan Singapura.

Skuad negara seterusnya akan berdepan Singapura pada 1 Oktober ini Ahad ini sebelum menentang Korea (3 Oktober).

Terdahulu dalam aksi pembukaan Malaysian Tigeres tiada masalah untuk membelasah Hong Kong 8-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 4:46 PM