SAIFUL (kanan) tekad pertahankan Piala TNB. FOTO Bernama
SAIFUL (kanan) tekad pertahankan Piala TNB. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) optimis mampu mempertahankan Piala TNB pada musim ini hasil kombinasi pemain berpengalaman dan muda yang dimiliki pasukan itu ketika ini apabila turun menentang THT dalam aksi final pada Sabtu ini.

Pengendali pasukan TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, bagaimanapun beliau tetap mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan ancaman yang akan diberikan THT terutamanya pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun yang dilihat mampu meranapkan impian mereka untuk menjulang trofi sulung pada musim ini.

"Kami mengakui Jang adalah pemain yang sangat berpengalaman di mana dia tahu posisi terbaik setiap kali perlawanan, di mana berbanding awal liga bermula kita sudah kekurangan pemain tengah sebab cedera jadi banyak posisi pemain yang cuba kita sesuaikan.

"Macam sekarang sudah sampai final sudah pasti kami mahu hentikan kemaraan THT untuk menang sampai tiga trofi musim ini, namun saya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain sebab sudah pasti mereka tidak dapat keluarkan permainan terbaik," katanya kepada pemberita selepas sidang media pra perlawanan akhir Piala TNB antara TNB menentang THT esok.

Pada musim lalu, Muhammad Amirul Hamizan Azhar menjadi wira pasukan TNB selepas meledak jaringan padang pada minit ke-60, untuk memastikan TNB menewaskan THT 3-2 pada aksi final tahun lalu.

Dalam pada itu, kapten pasukan THT Mohd Fitri Saari mengakui pasukannya mengimpikan untuk menamatkan penantian 10 tahun pasukannya bagi meraih gelaran treble, selepas dinafikan oleh TNB pada tahun lalu.

Menurit Fitri, dia yakin kemenangan menjulang Piala Sumbangsih dan muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL) pada awal musim mampu meningkatkan semangat dan motivasi tinggi pasukan untuk diterjemahkan dalam aksi final esok.

"Kita cuba rampas kembali Piala TNB yang terlepas tahun lepas kepada pasukan sama. Oleh itu, kita tidak boleh pandang rendah terhadap kebolehan mereka untuk cipta sejarah memenangi treble selepas 10 tahun pasukan THT ditubuhkan.

"Saya selalu pesan kepada rakan sepasukan untuk tidak terlampau risau terhadap kebolehan pihak lawan sebaliknya sentiasa memastikan pasukan sendiri (THT) berada dalam keadaan bersedia untuk menampilkan prestasi cemerlang ketika dalam gelanggang esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 4:17 PM