RAZALI. FOTO Arkib NSTP
RAZALI. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Masih terlalu awal untuk mengesahkan 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Makkah diperdaya agensi umrah dan haji berikutan ibadah itu belum bermula.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, kerajaan Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Tabung Haji (TH).

Justeru, beliau berkata, mereka yang mendakwa diperdaya agensi selepas diberi visa pelancong perlu menyemak semula perjanjian dengan agensi terbabit.

"Kita tidak tahu apa perjanjian agensi itu dengan bakal jemaah terbabit. Tapi untuk jemaah haji Malaysia, mesti melalui TH. Ketika ini memang sudah ada bakal jemaah haji yang berada di sana dan mereka boleh mengerjakan umrah.

"Cuma bagi mereka yang menggunakan visa pelancong, kebiasaannya mereka ini datang untuk buat umrah.

"Sekarang musim haji belum bermula, ada lagi lebih kurang sebulan. Saya tidak tolak kemungkinan ada bakal jemaah haji yang belum dapat gelang kerana awal lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan kira-kira 300 bakal jemaah haji yang bingung selepas terpedaya dengan sebuah agensi menawarkan pakej murah menggunakan visa pelancong.

Seorang jurucakap yang dikenali sebagai Zhyema Zhyedee dilaporkan berkata, beliau dihubungi seorang rakan dari Tanah Suci bagi mendapatkan bantuan selepas sedar diperdaya pihak agensi.

Individu itu mendakwa, agensi terbabit yang menjanjikan untuk memberi gelang haji masih gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Razali berkata, sepatutnya individu terbabit berhubung dengan pihak agensi untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung permasalahan itu.

"Lagipun yang buat hantaran di Facebook itu hanya orang yang dapat maklumat daripada rakan di sana. Sepatutnya semak dahulu supaya tidak mengeruhkan keadaan," katanya.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan pakej umrah atau haji diingatkan lebih berhati-hati dengan menyemak serta mendapatkan khidmat agensi berdaftar.

Beliau menasihati umat Islam terutama bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan Visa Pelancong dan Visa Umrah bagi tujuan untuk menunaikan ibadah haji.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 11:17 AM