PEMAIN Manchester City, Phil Foden. FOTO Agensi
PEMAIN Manchester City, Phil Foden. FOTO Agensi
Reuters

Bournemouth: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji aksi pemain berbakat, Phil Foden dan menganggapnya sebagai antara pemain terbaik dunia yang pernah dilahirkan.

Foden muncul wira City apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-24 memastikan pasukan merakam kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth.

Ia adalah jaringan kesembilannya musim ini dan kejayaan mengutip tiga mata maksimum itu meletakkan skuad kendalian Guardiola hanya ketinggalan satu mata di belakang Liverpool yang gah di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.

"Lupakan tentang gol itu, walaupun gol itu sebenarnya penting. Persoalannya adakah anda tahu bagaimana dia bermain?," kata Guardiola kepada pemberita.

"Bagaimana dia mengawal dan memecut. Dia sudah menjadi pemain bola sepak berkelas dunia. Dari kecil...kini dia sudah menjadi Phil, pemain terbaik bertaraf dunia.

"Dia sangat bagus. Dia boleh bermain di mana-mana, terutamanya di posisi tengah dan bermain dengan sangat...sangat bagus," ujar Guardiola.

City ketika ini mencatatkan 11 perlawanan tanpa kalah dalam liga dan bersaing hebat bersama Liverpool dan Arsenal di tiga kelompok atasan perebutan mahkota kejuaraan.

"Apa yang boleh saya katakan, saingan liga ketika ini menuntut harapan yang begitu tinggi. Pemain sudah melakukan sebaiknya sepanjang musim ini dan banyak lagi pencapaian ingin dirakam.

"Pemain tidak pernah putus asa biarpun satu ketika mengalami kemerosotan tetapi pemain menunjukkan sikap positif untuk bangkit dan ia mengejutkan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 9:49 AM