GUARDIOLA (kiri) tiada masalah dengan Sane. FOTO/AGENSI
GUARDIOLA (kiri) tiada masalah dengan Sane. FOTO/AGENSI
AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan sikap Leroy Sane biarpun penyerang itu tidak disenaraikan ketika Manchester City melakar kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Sane berdepan ujian dalam beberapa bulan kebelakangan ini sejak memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik PFA, April lalu apabila diketepikan daripada skuad Piala Dunia Jerman dan gagal berada dalam kesebelasan utama City dalam empat perlawanan awal liga.

Situasi berkenaan spekulasi apabila Guardiola dikatakan tidak gembira dengan sikap ditunjukkan Sane ketika sesi latihan tetapi pengurus City itu enggan mengeluarkan kritikan secara terbuka.

Sebaliknya dia menegaskan Sane tidak disenaraikan kerana dia mempunyai pilihan yang banyak di bahagian serangan.

Ditanya jika dia gembira dengan sikap Sane, Guardiola secara ringkas menjawab: "Ya.

Guardiola, berkata ketiadaan Sane daripada skuadnya lebih kurang sama dengan situasi dialami pemain muda, Phil Foden yang diketepikan ketika City seri 1-1 dengan Wolverhampton.

"Dalam perlawanan terakhir, Phil Foden tidak berada dalam skuad. Saya simpati dengan Phil, saya simpati dengan Leroy tetapi kami ada sebuah pasukan.

"Ada masa saya perlu mengetepikan pemain. Kami mempunyai enam penyerang dan saya memutuskan untuk bermain dengan dua penyerang. Kami ada dua pemain sayap dan seorang di bangku simpanan," kata Guardiola.

Skuad bimbingan Guardiola dilihat tempang dengan ketiadaan Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaan dan perlu berehat sehingga November depan.

Guardiola memiliki ramai pemain di bahagian serangan tetapi fakta yang menunjukkan Sane tidak kerap diturunkan kekal misteri.

Dalam pada itu, City kini mengumpul 10 mata selepas kemenangan ke atas Newcastle hasil jaringan daripada Raheem Sterling yang membuat penampilan ke-100 dalam saingan Liga Perdana Inggeris selain Kyle Walker.

"Raheem menjaringkan gol yang menakjubkan, dia bekerja keras untuk itu terutama pada babak kedua. Dia bermain dengan bijak.

"Dia bergerak dengan cara yang kami mahukan bagi membantu pasukan. Pemain sayap adalah penting dan dia bermain dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 10:58 AM