FODEN (dua dari kiri) muncul wira menjaringkan gol kemenangan buat City. FOTO AFP
FODEN (dua dari kiri) muncul wira menjaringkan gol kemenangan buat City. FOTO AFP
AFP

London: Phile Foden muncul wira Manchester City apabila meledak gol kemenangan bagi mengatasi Bournemouth 2-1 dan mara ke pusingan keempat Piala Liga, manakala Liverpool berpesta jaringan dengan menewaskan Lincoln 7-2, awal pagi tadi.

City tampil sebagai juara bertahan dan sudah memenangi saingan itu sejak tiga tahun lalu tetapi pengurus, Pep Guardiola mengakui beliau terpaksa menyenaraikan pemain muda bagi memberi keutamaan terhadap kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan persiapan pramusim yang singkat dan beberapa pemain disahkan positif Covid-19.

Liam Delap iaitu anak kepada bekas pemain tengah Stoke City, Rory Delap hanya memerlukan 18 minit bagi menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya bersama skuad utama selepas mendapat hantaran daripada Foden.

"Dia adalah penyerang yang berbeza daripada apa yang kami miliki dari aspek fizikal. Kami dapat lihat ketika latihan, dia mempunyai sentuhan penyudah yang sangat baik," kata Guardiola mengulas mengenai pemain berusia 17 tahun itu.

Bagaimanapun, jaringan pendahuluan itu hanya bertahan selama empat minit apabila pemain Bournemouth, Sam Sturridge berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Guardiola memasukkan dua bintang utamanya, Kevin de Bruye dan Raheem Sterling pada babak kedua perlawanan tetapi Foden menjadi wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-75.

Anak buah Guardiola akan berkunjung ke Burnley untuk aksi 16 terakhir.

Sementara itu, anak buah Jurgen Klopp menewaskan Lincoln dengan Takumi Minamino dan Curtis meledak dua gol.

"Semua pemain menggunakan peluang malam ini (awal pagi tadi) bagi membuktikan kemampuan masing-masing. Itu sangat penting.

"Kita dapat lihat siapa yang menunjukkan kesungguhan malam ini dan hanya dengan itu, anda akan mendapat peluang beraksi dalam banyak perlawanan musim ini," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 12:52 PM