FODEN (tengah) antara watak penting kemenangan City ke atas Newcastle. FOTO EPA
FODEN (tengah) antara watak penting kemenangan City ke atas Newcastle. FOTO EPA
Reuters

Manchester: Penurunan prestasi Phil Foden buat Manchester City hanyalah sementara kata pengurus, Pep Guardiola ketika dia memuji pemain sayap itu yang kembali daripada kecederaan dan menemui semula sentuhan magisnya.

Foden mencatat gol keempat dalam tiga aksi membabitkan semua kejohanan ketika membantu City mencipta kemenangan 2-0 mengatasi Newcastle United seterusnya memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Pemain sayap itu tidak bersama skuad kerana kecederaan pergelangan kaki dialami ketika berdepan Manchester United pada Januari dan Guardiola berkata pemain berusia 22 tahun itu, berdepan cabaran pertama dalam kariernya, tampak kurang meyakinkan ketika kembali.

"(Saya memberitahunya) adalah penting untuk menerimanya, masalah berkaitan pergelangan kakinya, terima sahaja.

"Itu adalah perkara paling penting. Jangan salahkan lawan, jangan salahkan pengurus atau kelab atau rakan sepasukan atau apa sahaja.

"Terima bahawa 'saya boleh lakukan lebih baik'. Kembali kepada falsafah anda dan selangkah demi selangkah anda akan kembali," kata Guardiola pada sidang media.

Foden menunjukkan aksi terbaik menerusi kawalannya melepasi pertahanan Newcastle bagi memberikan kelebihan buat City pada minit ke-15 malam tadi yang juga gol keempatnya dalam seminggu selepas turut menemui satu gol menentang Bournemouth dan dua mengatasi Bristol City pada Piala FA.

"Apa yang berlaku terhadap Phil amat normal. Saya kata ia tempoh yang teruk, ia akan berakhir. Ia sentiasa seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 11:55 AM