FODEN bersorak kegembiraan selepas meledak hatrik kedua dalam kariernya ketika Manchester City menang 3-1 ke atas Brentford, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
FODEN bersorak kegembiraan selepas meledak hatrik kedua dalam kariernya ketika Manchester City menang 3-1 ke atas Brentford, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
AFP

London: Phil Foden mengakui dia kembali berada pada prestasi terbaik selepas meledak hatrik yang memastikan Manchester City naik ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan 3-1 di Brentford, awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa England itu kini menjaringkan 14 gol musim ini dan kelihatan gembira bermain di posisi tengah berbanding sebelum ini di bawah kendalian Pep Guardiola.

"Sangat gembira dengan prestasi saya, gembira dengan cara saya bermain," kata Foden kepada Sky Sports.

"Bermain lebih ke tengah, ia posisi yang saya mahukan. Ini adalah prestasi terbaik sejak saya menyarung jersi City untuk sekian lamanya secara konsisten."

Kemenangan itu menyaksikan City ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Liverpool dan memiliki kelebihan satu perlawanan.

Juara Inggeris itu muncul pasukan EPL pertama menang empat perlawanan berturut-turut di tempat lawan walaupun mereka lebih dulu ketinggalan.

Neal Maupay membuka jaringan buat Brentford pada minit ke-21, tetapi tekanan bertali arus dilakukan City berhasil apabila Foden menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama.

Foden kemudian menanduk masuk hantaran lintang Kevin De Bruyne dan melengkapkan hatrik kedua dalam kariernya 20 minit sebelum perlawanan tamat hasil umpanan Erling Haaland.

"Kami kekal tenang. Kami adalah pasukan yang yakin kepada kemampuan sendiri dan kekal bersabar," kata Foden.

"Secara keseluruhannya, kami memang berhak menang, mencipta lebih banyak peluang dan menguasai bola."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 6:48 AM