CITY belasah Huddersfield 5-0. -FOTO Reuters
CITY belasah Huddersfield 5-0. -FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pep Guardiola memuji Kevin De Bruyne sebagai pemain yang mempunyai bakat "unik" selepas perancang Belgium itu kembali beraksi dalam perlawanan Piala FA Manchester City menentang Huddersfield.

Pemain antarabangsa Belgium itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-57 dan menjaringkan gol ketika juara bertahan itu menang 5-0 ke atas pasukan divisyen dua Huddersfield dalam pertembungan di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Ia adalah penampilan pertama De Bruyne sejak mengalami kecederaan hamstring terkoyak semasa perlawanan pembukaan Liga Perdana City menentang Burnley pada Ogos lalu.

Laungan 'Oh Kevin De Bruyne' bergema di seluruh stadium apabila pemain berusia 32 tahun itu dimasukkan menggantikan Julian Alvarez, dengan City ketika itu sudah mendahului 2-0 hasil gol Phil Foden dan Alvarez.

Skuad kendalian Guardiola melebarkan kelebihan jaringan apabila Ben Jackson menjaringkan gol sendiri dan satu lagi percubaan Foden sebelum hantaran De Bruyne membolehkan Jeremy Doku melengkapkan jaringan.

"Dia bermain untuk tempoh waktu yang sangat bagus," kata pengurus City, Guardiola mengenai De Bruyne.

"Kami fikir lebih baik bermain separuh masa kedua berbanding dari awal ketika permainan lebih masih tegang.

"Ia benar-benar bagus dan sekarang, seperti yang saya katakan sebelum ini, dia perlu terus berlatih dan turun lebih banyak sesi latihan, lebih daripada perlawanan. Dia masih belum bersedia untuk 90 minit."

Pengendali Sepanyol itu menambah: "Kevin membantu memenangi perlawanan dan hanya terdapat sedikit pemain (seperti dia) di dunia. Kami boleh bermain dengan baik dari segi bola sepak tetapi Kevin, (Erling) Haaland, Phil (Foden), Julian (Alvarez) – mereka ini menguasai perlawanan.

"Itulah sebabnya sangat penting untuk mendapatkannya kembali. Kevin luar biasa, dia unik. Dia sudah lama kembali selepas pembedahan. Minit-minit pertamanya, kualiti bantuan untuk gol Jeremy (Doku), sangat bagus dia kembali."

Kualiti kelas dunia De Bruyne akan menjadi rangsangan kepada harapan City untuk mengekalkan Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA yang dimenangi pada musim 'treble' 2022/23, dengan Guardiola berharap skuadnya tidak lama lagi akan kembali bertenaga sepenuhnya dengan kepulangan beberapa pemain senior yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 7:33 AM