DABBAGH (kiri) meraikan jaringannya ketika Palestin menewaskan Hong Kong 3-0 pada aksi Kumpulan C, malam tadi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
DABBAGH (kiri) meraikan jaringannya ketika Palestin menewaskan Hong Kong 3-0 pada aksi Kumpulan C, malam tadi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
AFP

Doha: Kapten Palestin, Musab Al-Battat berkata, pasukannya mengotakan 'janji kepada rakyat Palestin' selepas mara ke pusingan kalah mati Piala Asia buat kali pertama, malam tadi.

Kemenangan 3-0 ke atas Hong Kong yang juga kemenangan pertama mereka dalam sejarah kejohanan sudah cukup untuk mara dalam kelompok 16 terakhir sebagai satu daripada empat pasukan terbaik di tempat ketiga.

Oday Dabbagh muncul wira di Doha apabila menjaringkan dua gol dan sebaik wisel penamat ditiupkan, pemain dan pegawai pasukan berpelukan di padang sambil mengibarkan bendera negara mereka.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) mara sebagai pasukan tempat kedua Kumpulan C, sekalipun tewas 1-2 kepada pendahulu kumpulan, Iran.

Kemenangan Palestin itu amat bermakna selepas dibayangi serangan Israel di Gaza menyebabkan pemain serta pegawai pasukan kehilangan ahli keluarga akibat konflik itu.

Musab berkata, pasukannya mengotakan janji yang dibuat untuk rakyat Palestin.

"Saya ucap terima kasih kepada semua yang menyokong kami," katanya.

"Kami mampu menghadirkan senyuman kepada wajah yang sentiasa menyokong kami sama ada di dalam atau luar Palestin."

Sebelum perlawanan, detik senyap seketika diadakan sebelum disambut dengan jeritan 'Bebaskan Palestin'.

Hong Kong muncul pasukan paling sukar menang di Piala Asia iaitu 12 perlawanan manakala Palestin gagal menang dalam lapan perlawanan, tetapi kemenangan pada perlawanan itu akan membuka peluang mara ke pusingan 16 terbaik.

Pada minit ke-12, Palestin berada di depan apabila hantaran lintang Battat dari sebelah kanan ditanduk masuk oleh Dabbagh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 8:07 AM