BENDERA Palestin dikibarkan ketika Iran menang 4-1 ke atas Palestin pada aksi Piala Asia, awal pagi tadi. FOTO AFP
BENDERA Palestin dikibarkan ketika Iran menang 4-1 ke atas Palestin pada aksi Piala Asia, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Doha: Palestin dibolosi selepas 64 saat perlawanan pembukaan mereka di Piala Asia, pada ketika Iran memulakan kempen memburu gelaran dengan kemenangan selesa 4-1, awal pagi tadi.

Kebetulan perlawanan di Qatar itu berlaku ketika genap hari ke-100 peperangan Israel-Hamas dan ia menambah sesuatu detik lebih besar menjangkaui bola sepak.

Bendera Palestin dan sepanduk dikibarkan dalam kalangan 28,000 penyokong di Stadium Education City itu yang turut menjadi gelanggang Piala Dunia 2022.

Malah, gol sagu hati Palestin sebelum rehat menjadi sorakan paling gamat dan gemuruh sepanjang perlawanan.

Tangisan kedengaran apabila lagu kebangsaan Palestin dimainkan sebelum perlawanan dan pemain mereka meletakkan lengan di bahu rakan sepasukan.

Tempoh senyap seketika dibuat sebelum sepak mula dan ia kemudian disusuli dengan jeritan 'bebaskan Palestin'.

Menjelang perlawanan itu, kapten Palestin, Musab Al-Battat berkata, pemain berazam memberikan senyuman kepada rakyat Palestin walaupun berdepan kesukaran ketika membina pasukan.

Ramai pemain kehilangan orang yang disayangi susulan pengeboman dan serangan Israel di Gaza, yang dikatakan reaksi balas selepas serangan Hamas pada 7 Oktober.

Pasukan Palestin terpaksa berlatih dan bermain perlawanan persediaan di luar negeri sebagai persiapan menghadapi kempen Piala Asia kali ketiga ini.

Mereka turun untuk memburu kemenangan pertama dalam tujuh percubaan di Piala Asia.

Bagaimanapun, mereka ketinggalan seawal minit pertama apabila penyerang, Karim Ansarifard menjaringkan gol pertama Iran yang dianggap antara pasukan pilihan pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 9:43 AM