PEMAIN Negeri Sembilan gigih menjalani latihan bagi menghadapi Kedah, Sabtu ini. FOTO Ihsan FB NSFC
PEMAIN Negeri Sembilan gigih menjalani latihan bagi menghadapi Kedah, Sabtu ini. FOTO Ihsan FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Di sebalik masalah tunggakan gaji pemain yang belum selesai sepenuhnya, pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) tetap memberikan komitmen tinggi terhadap pasukan apabila kembali memberi tumpuan kepada latihan sejak seminggu lalu.

Ia sebagai persiapan bagi menghadapi perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu ini.

Tonggak pertahanan pasukan itu, Che Rashid Che Halim berkata, dia dan rakan sepasukan bersyukur kerana NSFC sudah membayar tunggakan sebulan gaji, iaitu bagi bulan Ogos, baru-baru ini.

"Alhamdulillah, kelab sudah menjelaskan tunggakan gaji sebulan. Dengan gaji itu kami dapat menggunakannya untuk keperluan diri, keluarga dan pergerakan untuk menjalani latihan.

"Rasa lega dapat tunggakan sebulan gaji walaupun ia belum dapat diselesaikan semuanya.

"Namun, tumpuan kami adalah untuk persiapan pasukan meneruskan cabaran dalam Liga Super apabila kami akan bertandang di Alor Setar, Sabtu ini," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, isu tunggakan gaji pemain skuad Hobin Jang Hobin terbongkar selepas ketua jurulatih K Devan mengesahkan mengenai perkara itu awal bulan ini iaitu selepas perlawanan Liga Super menentang Perak FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Che Rashid berkata, fokus perlu diberikan kepada latihan untuk memantapkan dan memastikan prestasi serta kekuatan pasukan tidak terjejas bagi menghadapi Kedah selepas lebih tiga minggu tanpa perlawanan.

Menurut pemain berpengalaman berusia 28 tahun itu, dia bersama rakan akan tetap memberikan perhatian serius kepada usaha menjulang nama pasukan walaupun apa jua situasi melanda skuad Hobin Jang Hobin.

Katanya, Negeri Sembilan mempunyai empat lagi baki perlawanan liga sebelum liga musim ini berakhir dan peluang membawa pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta adalah cerah.

"Kami perlu mendapatkan mata kemenangan pada pertembungan Kedah bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga meskipun kelebihan memihak kepada pasukan lawan.

"Saya yakin semua pemain akan memberikan komitmen tinggi terhadap usaha mempertahankan reputasi pasukan kerana ia adalah tugas hakiki yang perlu dilakukan," kata Che Rashid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 6:11 PM