K DEVAN ketika sesi latihan NSFC sebelum ini.
K DEVAN ketika sesi latihan NSFC sebelum ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu tunggakan gaji babitkan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) makin meruncing apabila difahamkan sudah dua minggu skuad Hobin Jang Hobin tidak turun menjalanti latihan.

Menurut sumber, pemain tidak mempunyai wang untuk pergi ke pusat latihan yang memaksa sesi latihan tidak dapat dijalankan sejak dua minggu lalu.

Ujarnya lagi, susulan masalah itu kini wujud kebimbangan mengenai prestasi pasukan yang dijadual menyambung aksi saingan Liga Super pada 28 Oktober ini, di mana NSFC akan bertandang ke Stadium Darul Aman bagi menentang pasukan Kedah.

"Betul latihan dah dua minggu tidak dijalankan. Masuk hari ini, memang dah dua minggu pasukan tak menjalani latihan.

"Macam mana pemain nak pergi berlatih, majoriti mereka tak dapat nak turun berlatih kerana tiada wang untuk ke pusat latihan," katanya.

Terdahulu, menerusi pendedahan Arena Metro pada 3 Oktober lalu, NSFC dilaporkan pasukan terbaharu yang mengalami tunggakan gaji sejak dua bulan lalu babitkan pembayaran bagi Ogos dan September.

Perkara itu dikongsikan sumber terdekat kelab terbabit yang mengakui prestasi merudum NSFC ketika ini disebabkan oleh kelewatan pembayaran gaji.

Kemudian beberapa susulan dilakukan oleh pihak media dan masalah berkenaan disahkan sendiri, ketua jurulatih NSFC, K Devan bahawa pasukan bimbingannya menghadapi masalah gaji, namun pihaknya yakin pengurusan kelab terbabit akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh terdekat.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan turut berkongsi situasi perit itu apabila berharap pihak NSFC dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain secepat mungkin untuk kepentingan pemain dan pasukan.

Rintihan itu kemudiannya mendapat perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang bersedia menghulurkan bantuan kepada NSFC dan akan membuat pertemuan bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan isu terbabit.

Dalam perkembangan sama, sumber memaklumkan satu berita gembira bakal diumumkan tidak lama lagi yang mungkin dapat meringankan beban pemain NSFC sekali gus kembali bersemangat mengharungi baki saingan liga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 6:42 PM