AKSI sengit perlawanan NSFC menentang Perak FC.
AKSI sengit perlawanan NSFC menentang Perak FC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Memang ada masalah, tapi saya tak boleh nyatakan di sini, namun pihak pengurusan sedang dalam proses untuk memperbaiki keadaan," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan.

Beliau mengulas mengenai situasi terbaru melanda skuad Hobin Jang Hobin berkaitan dakwaan pemain pasukan itu belum menerima gaji dua bulan iaitu Ogos dan September.

Pengendali berpengalaman itu berkata, pihaknya yakin dan percaya pengurusan kelab berkenaan sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah terbabit.

"Ini (NSFC) adalah pasukan Negeri Sembilan dan bukan pasukan saya atau individu sesiapa. Jadi, semua pihak kena bertanggungjawab untuk menjaga nama baik dan kepentingan pasukan.

"Sebagai jurulatih, saya akan bertugas dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang yang profesional," katanya hari ini.

Negeri Sembilan dikhabarkan pasukan terbaharu mengalami tunggakan gaji sejak dua bulan lalu babitkan pembayaran bagi Ogos dan September.

Sumber pasukan itu mengakui prestasi merudum NSFC ketika ini disebabkan kelewatan pembayaran gaji dengan kekalahan terbaharu di tangan Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad lalu kemungkinan pemain menunjukkan protes dalam persembahan mereka.

Dalam pada itu, Devan berkata peminat pasukan itu perlu akur dengan kekurangan yang ada dalam pasukan itu terutama membabitkan pemain import.

"Kita tidak boleh terlalu mengharap untuk mencapai seperti mana musim lalu di tempat keempat carta Liga Super. Kena lihat dengan keupayaan kita ketika ini terutama pemain import yang kurang berbanding pasukan lain.

"Pasukan yang berbelanja RM30 juta, RM38 juta tapi kalah juga dengan JDT (Johor Darul Ta`zim). Sabah FC tewas kepada Perak dalam suku akhir Piala Malaysia, tiada orang bising pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 9:18 PM