ISU gaji pemain Negeri Sembilan bakal selesai dalam masa terdekat selepas kerajaan negeri bersetuju untuk membantu. FOTO IHSAN NSFC
ISU gaji pemain Negeri Sembilan bakal selesai dalam masa terdekat selepas kerajaan negeri bersetuju untuk membantu. FOTO IHSAN NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kemelut tunggakan gaji membabitkan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dijangka berakhir dalam masa terdekat susulan jaminan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, untuk membantu kelab itu menyelesaikan kemelut terbabit.

Sumber memberitahu, Aminuddin sudah bersetuju untuk menyelesaikan kemelut berkenaan dengan menyalurkan satu peruntukan khas kepada NSFC sebagai jalan penyelesaian.

"MB (Aminuddin) sudah bersetuju untuk membantu menyelesaikan masalah gaji pemain bola sepak Negeri Sembilan susulan perbincangan antara beliau dengan pihak pengurusan kelab terbabit, baru-baru ini.

"Malah, saya difahamkan satu jumlah peruntukan juga sudah disediakan untuk menyelesaikan perkara itu..memang sudah ada peruntukan itu..jadi saya yakin masalah gaji pemain bola sepak ini akan selesai dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak boleh nyatakan jumlah bantuan kewangan itu..mungkin sedikit masa lagi akan ada pengumuman manakala proses pembayarannya sedang dipersiapkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu kemelut gaji pemain skuad Hobin Jang Hobin terbongkar selepas dikatakan mereka tidak menerima gaji dua bulan iaitu bagi bulan Ogos dan September.

Susulan itu, prestasi skuad bimbingan K Devan itu dilihat terjejas selepas mereka tewas kepada Perak 1-0, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 1 Oktober lalu.

Sebelum ini, Devan sendiri mengesahkan pasukan bimbingannya itu menghadapi masalah gaji, namun pihaknya yakin pengurusan kelab terbabit akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh terdekat.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan turut berkongsi situasi perit itu apabila berharap pihak NSFC dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain secepat mungkin untuk kepentingan pemain dan pasukan.

Sehingga kini pasukan terbabit dikatakan tidak menjalani latihan seperti biasa sekali gus mengundang rasa bimbang di kalangan penyokong pasukan itu mengenai prestasi pasukan ketika saingan Liga Super musim ini belum berakhir.

Mengulas lanjut, sumber berkenaan berkata, kerajaan negeri turut meminta pihak NSFC supaya dapat merancang kewangan dengan baik.

"MB juga turut menggesa NSFC agar dapat berusaha mencari dana sendiri bagi menampung operasi kelab, walaupun kerajaan negeri setiap tahun sentiasa membantu kelab terbabit," katanya.

Negeri Sembilan dijadual akan berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, pada aksi Liga Super di tempat lawan, 28 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 2:07 PM