KIPRE (kiri) menjaringkan gol tunggal buat KL City FC pada perlawanan malam ini. FOTO FB MFL
KIPRE (kiri) menjaringkan gol tunggal buat KL City FC pada perlawanan malam ini. FOTO FB MFL
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) FC mengesahkan slot ke suku akhir selepas menumpaskan Penang FC 1-0 pada pertemuan kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Gol tunggal menerusi ayam tambatan KL City FC, Tchetche Kipre pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memastikan skuad The City Boys mengesahkan slot ke suku akhir menerusi agregat 5-0.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan kurang melakukan gerakan berbahaya berikutan keadaan padang yang agak basah dan hujan renyai, sekali gus perlawanan berlangsung dengan situasi membosan.

Skuad kendalian Nenad Bacina hampir memecah kebuntuan gol pada lewat separuh masa pertama, namun percubaan Kipre sedikit tersasar.

Memasuki babak kedua, pasukan pelawat bermain dengan agak agresif dengan sering melakukan serangan berbahaya ke kubu tuan rumah.

Namun, kecemerlangan penjaga gol KL City, Azri Ghani berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya lima sepakan daripada luar kotak penalti untuk memastikan gawang pasukan tuan rumah tidak bocor.

Gol yang dinanti akhirnya muncul apabila kesilapan pertahanan Penang, Rafael Vitor yang gagal mengawal bola dengan kemas dan disambar Kipre sebelum meletakkan KL City di hadapan pada minit ke-70 untuk kedudukan 1-0.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan KL City FC sebagai pasukan pertama mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 10:26 PM