PAULO Josue berebut bola dengan pemain Sri Pahang, Kevin Langbehn Ingreso pada aksi malam tadi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
PAULO Josue berebut bola dengan pemain Sri Pahang, Kevin Langbehn Ingreso pada aksi malam tadi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Nenad Bacina mengakui pasukannya akan melalui perlawanan lebih sukar pada pertemuan kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang di Stadium Darul Makmur 24 September ini.

Pengendali berasal dari Croatia itu berkata, walaupun membawa bekalan satu gol apabila berkunjung ke Kuantan kelak, namun barisan anak buahnya perlu lebih fokus dan berhati-hati dengan corak permainan yang bakal ditampilkan skuad Tok Gajah.

Beliau berkata, barisan anak buahnya mempunyai banyak peluang terhidang untuk menambah gol namun penyudah yang tumpul sekali gus terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 1-0 pada pertemuan pertama suku akhir Piala Malaysia malam tadi.

"Kita kena banyak lagi perbaiki corak permainan kerana Sri Pahang bukanlah pasukan yang mudah untuk ditundukkan lebih lagi apabila beraksi di tempat mereka.

"Saya tahu penyokong sudah pastinya mengharapkan kemenangan 4-0 atau 5-0 namun bekalan satu gol adalah petanda positif untuk kita meraih kejayaan pada perlawanan akan datang," katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan skuad The City Boys membawa bekalan tipis selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 menentang Sri Pahang pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol tuan rumah dijaringkan Romel Morales menerusi sepakan penalti selepas pertahanan Sri Pahang Syazwan Andik yang mengasari Paulo Josue pada minit ke-72.

Sementara itu, Bacina berkata, walaupun tonggak pertahanan KL City Kenny Pallraj tidak dapat beraksi pada pertemuan kedua selepas dilayangkan kad merah namun situasi terbabit tidak menggugat pasukan kerana mempunyai barisan pemain lain yang akan menggalas tanggungjawab itu.

"Kita mempunyai beberapa pemain lain yang boleh menggantikan posisi terbabit dan akan lebih bersedia mengharungi perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia minggu depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 10:30 AM