JOSUE (kanan) diasak pemain Sri Pahang, Kevin Ingreso ketika perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Cheras, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
JOSUE (kanan) diasak pemain Sri Pahang, Kevin Ingreso ketika perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Cheras, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) FC belum lagi boleh tersenyum apabila bertandang ke Stadium Darul Makmur hujung minggu ini selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 menentang Sri Pahang pada pertembungan pertama suku akhir Piala Malaysia, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu menguji benteng pertahanan KL City seawal minit keenam apabila hantaran lolos Kuvondik Rusiev menemui Kpah Sherman namun percubaannya diselamatkan Kevin Ray Mendoza.

Penjaga gol SPFC, Izham Tarmizi Roslan cemerlang menafikan dua percubaan berturut-turut pada minit ke-14 menerusi tandukan Paulo Josue dan rembatan Tchetche Kipre sebelum Izham turut menepis percubaan Zhafri Yahya seminit berselang.

Permainan bertambah rancak selepas rehat yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan namun tiada percubaan yang mampu diterjemahkan sebagai gol untuk mengubah kedudukan perlawanan.

Skuad kendalian Nenad Bacina dilihat lebih mengawal perlawanan apabila sering mengatur serangan berbahaya bagi mencari gol pertama perlawanan.

KL City FC mendapat peluang keemasan menerusi sepakan percuma pada sudut yang baik pada minit ke-54 namun hantaran Paulo Josue ke arah kotak penalti gagal disambut mana-mana pemain tuan rumah.

Namun, kesilapan pertahanan Sri Pahang Syazwan Andik yang mengasari Paulo Josue akhirnya dihukum apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada KL City sebelum Romel Morales menyempurnakannya untuk kedudukan 1-0 pada minit 72.

Pasukan tuan rumah sedikit tempang ketika perlawanan berbaki lapan minit selepas Kenny Pallraj dilayangkan kad kuning kedua berikutan mengasari Sherman.

Situasi terbabit tidak mendatangkan masalah untuk KL City apabila berjaya mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga tamat perlawanan sekali gus membawa bekalan satu gol apabila bertandang ke Stadium Darul Makmur 24 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 10:22 PM