HARITH Haiqal (kanan) menjaringkan gol sulung Selangor FC ketika menewaskan KL City FC 2-0, malam ini. FOTO FB SELANGOR FC
HARITH Haiqal (kanan) menjaringkan gol sulung Selangor FC ketika menewaskan KL City FC 2-0, malam ini. FOTO FB SELANGOR FC
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Selangor FC membuktikan mereka adalah 'raja' di Lembah Klang apabila membenam Kuala Lumpur City (KL City) FC, 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah, barisan anak buah Tan Cheng Hoe bermula dengan garang apabila sering melakukan serangan berbahaya dalam usaha mencari gol pertama.

Skuad Gergasi Merah berpeluang untuk berada di hadapan pada minit ke-23, namun palang menjadi penghalang kepada sepakan Yohandry Jose Orozco Cujia dari luar kotak penalti, sekali gus memberi kelegaan kepada kem pelawat.

KL City yang sekali sekala melakukan serangan berbahaya ke kubu tuan rumah turut berpeluang mendahului, namun sepakan kapten mereka, Paulo Josue pada minit ke-32 sedikit tersasar walaupun gawang lawan sudah terbuka luas.

Gol dinantikan Selangor FC akhirnya menjelma pada minit ke-39 menerusi Harith Haiqal yang bijak menyudahkan peluang terhidang selepas penjaga gol KL City, Kevin Mendoza gagal menepis kemas sepakan percuma untuk kedudukan 1-0.

Memasuki babak kedua menyaksikan perlawanan lebih seimbang apabila kedua-dua pasukan saling mengasak dalam usaha merobek kubu lawan.

Malah, skuad The City Boys yang dipimpin jurulatih baharu, Nenad Bacina melakukan tiga pertukaran pemain dengan memasukkan Romel Morales, Akram Mahinan dan Nazirul Naim bagi menambah lagi 'sengat' di bahagian serangan.

Namun, lain pula jadinya apabila Selangor FC menambah derita KL City dengan jaringan kedua pada minit ke-76 menerusi penyerang sensasi mereka, Ayron del Valle untuk kedudukan 2-0.

Keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Selangor FC terus mengukuhkan cengkaman di tangga kedua Liga Super menerusi 43 mata manakala KL City pula ketika ini berada di kedudukan ketujuh dengan 28 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 11:05 PM