ZAHA (kiri) antara pemain bintang Palace. FOTO REUTERS
ZAHA (kiri) antara pemain bintang Palace. FOTO REUTERS
Reuters)

Istanbul: Kelab gergasi Turkiye, Galatasaray mengesahkan mereka berunding untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Ivory Coast, Wilfried Zaha selepas kontraknya bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace, berakhir.

Zaha, 30, hadir menerusi akademi Palace dan menghabiskan majoriti kariernya di kelab London itu, kecuali dua tahun bersama Manchester United.

Dia bermain lebih 450 perlawanan buat Palace dan menjaringkan 90 gol.

Zaha turut beraksi 31 kali bersama Ivory Coast selepas membuat penampilan sulung pada 2017.

Dia mewakili England di peringkat belia dan melakukan dua penampilan buat pasukan senior sebelum memutuskan untuk bersama Ivory Coast.

"Rundingan rasmi sudah bermula dengan pemain profesional, Dazet Wilfried Armel Zaha mengenai perpindahan pemain itu ke kelab kami," menurut Galatasaray dalam satu kenyataan di media sosial.

Galatasaray melebarkan rekod dengan 23 kejuaraan liga pada Mei lalu iaitu kejuaraan pertama mereka sejak musim 2018-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 8:14 AM